Belanjawan 2021 diharap bantu rakyat terjejas

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan esok sangat-sangat dinantikan sebagai alat perancangan dan pengurusan sumber ekonomi negara untuk memenuhi keperluan rakyat.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Andansura Rabu melahirkan harapan agar kerajaan dapat memastikan agihan kepada golongan yang amat memerlukan menjadi perhatian utama.

Antaranya dikemukakan beliau adalah untuk melihat semula kadar bantuan yang diberikan kepada golongan yang menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut beliau, bantuan yang diberikan selama ini sangatlah rendah iaitu dalam kadar RM150 hingga RM300 sebulan di mana ianya tidak dapat membantu golongan miskin ini.

Beliau yang juga ADUN Beserah berharap pegawai-pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat juga perlu turun dan meninjau sendiri keadaan semasa para penerima bantuan tersebut.

“Kita mengharapkan bajet kali ini dapat memberi penekanan tentang  hal kebajikan rakyat. Selain dari itu langkah-langkah pemulihan kesihatan perlu diberi perhatian yang serius, bagaimana kita hendak keluar dari pendemik COVID-19,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, negara juga memerlukan strategi untuk pemulihan secara keseluruhan agar rakyat dapat hidup seperti sedia kala iaitu sebagaimana sebelum pendemik ini terjadi.

“Kena ada langkah yang perlu diambil melalui pembentangan bajet ini supaya kita tidak berterusan berada dalam keadaan yang tidak ketentuan ini,” ujarnya.

Selain itu, beliau juga berharap bajet ini juga perlu memberi tumpuan kepada langkah-langkah pemulihan ekonomi terutama terhadap rakyat yang terkesan dengan pendemik COVID-19.

Beliau yakin kerajaan mempunyai langkah-langkah yang bertepatan dan bersesuaian supaya pemulihan ekonomi rakyat dapat diberikan  penyelesaian sewajarnya. – HARAKAHDAILY 5/11/2020

- Advertisement -