Belanjawan 2021: Empat fokus utama KPPK

Foto FB KPPK

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 bagi sektor perladangan dan komoditi dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta menyediakan peluang pekerjaan melalui inisiatif yang bakal dilaksanakan.

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Dato’ Mohd Khairuddin Aman Razali pihaknya akan memberikan tumpuan kepada empat fokus utama.

Advertisement

Katanya, ia seperti mana digariskan oleh Kementerian Kewangan iaitu memperkukuh kesejahteraan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi, mengupaya kehidupan lestari dan memperkasa penyampaian perkhidmatan.

Ulasnya, antara inisiatif utama yang dicadangkan oleh KPPK memperkenalkan semula skim Geran Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS-G).

“Jika skim tersebut diluluskan ia akan dihadkan kepada pekebun kecil dalam kalangan B40 dengan saiz pemilikan tanah di bawah 3.5 hektar.

“Dengan pemberian geran TSPKS-G, pendapatan pekebun kecil persendirian dijangka meningkat dengan hasil pengeluaran lebih tinggi menggunakan anak benih berkualiti untuk menggantikan pokok sawit berumur melebihi 25 tahun yang tidak lagi produktif,” katanya.

Bagi meneruskan kesinambungan jaminan bekalan bahan mentah kepada sektor perkayuan, KPPK turut mencadangkan agar Dana Pusingan (Revolving Fund) bagi Program Pinjaman Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) diperkenalkan.

“Pendekatan baru ini adalah merupakan penambahbaikan kepada PPLH yang telah dilaksanakan di negara ini sejak 2007. Melalui pemberian dana pusingan, bekalan bahan mentah untuk masa hadapan sektor perkayuan adalah terjamin.

“Ia penting agar sumbangan kepada pendapatan ekport negara daripada sektor ini iaitu antara RM22 bilion hingga RM23 bilion setiap tahun dapat dikekalkan atau ditingkatkan,” katanya.

Ujarnya lagi KPPK amat prihatin dengan cabaran yang diharungi oleh pekebun kecil getah dalam meneruskan kelangsungan hidup terutama kepada mereka yang memerlukan.

Kementeriannya juga telah mengemukakan cadangan Inisiatif Pembangunan Koridor Lateks Wilayah Timur di Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi meningkatkan pengeluaran lateks negara.

“Inisiatif ini akan dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah melalui harga premium yang bakal dinikmati berbanding harga getah cumplump.

“Selain itu, KPPK turut berharap agar skim penstabilan pendapatan pekebun kecil menerusi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dapat diteruskan,” katanya pada satu kenyataan media, semalam.

KPPK juga mengesyorkan pembangunan secara agresif bagi industri coklat negara melalui penubuhan Hab Coklat di Langkawi dan Pusat Perdagangan Koko di tiga pelabuhan utama di Malaysia.

Katanya, harapan KPPK agar Belanjawan 2021 dapat dizahirkan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran industri agrikomoditi yang merupakan teras kepada pembangunan ekonomi negara. – HARAKAHDAILY 5/11/2020