JPKK ganti MPKK di Terengganu tahun depan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan melantik 1,050 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) baharu bagi menggantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, MPKK akan dijenamakan semula sebagai JPKK bermula 1 Januari 2021.

Katanya langkah itu selaras dengan keputusan kabinet pada 8 Julai lepas.

- Advertisement -

“Sebahagian negeri telah dan sedang dalam proses pelaksanaan. Di Terengganu MPKK sedia ada akan tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini.

“Sekarang terdapat 1,047 MPKK seluruh negeri dan tambahan kepada tiga MPKK Kampung Baru Cina yang ditadbir urus Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Jadi kesemuanya berjumlah 1,050 MPKK daripada Kemaman hingga ke Besut,” katanya selepas Mesyuarat Penyelarasan Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Menurutnya apabila MPKK dijenamakan kepada JPKK, kerajaan negeri bersetuju membuat lantikan tambahan seramai lima orang lagi menjadikan jumlahnya 20 anggota. – HARAKAHDAILY 3/11/2020

- Advertisement -