ADUN Beserah bantu mangsa ribut

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: ADUN Beserah, Andansura Rabu telah turun padang menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa-mangsa ribut di Indera Mahkota 2, di sini kelmarin dahulu.

- Advertisement -

Turut bersama adalah isteri beliau, Nor Azni Wahab dan para pegawai Pusat Khidmat DUN Beserah, Ahli Jawatankuasa PAS Indera Mahkota dan PAS Cawangan Pasdec Makmur.

Andansura dalam nasihatnya kepada para mangsa mengharap agar mereka tabah menghadapi ujian dan ketentuan tersebut yang hakikatnya datang daripada Allah S.W.T ke atas hamba-Nya.

“Pasti ada hikmah yang kita tidak ketahui disebalik peringatan yang Allah berikan. Sesungguhnya Allah menguji hamba-hamba yang Dia sayang.

“Kepada yang tidak ditimpa ujian ini, datanglah membantu sahabat-sahabat jiran tetangga kita seperti yang Allah kehendaki iaitu saling bantu-membantu terutama bila ada yang memerlukan.

“Jangan kita berdiam berpeluk tubuh dan membiarkan perkara ini berlaku begitu sahaja,” seru beliau mengajak kepekaan setiap penduduk kepada satu sama lain.

Dalam kejadian minggu lalu itu, sebanyak 40 rumah di Perumahan Kos Rendah Indera Mahkota 2 Kuantan, di sini telah dibadai ribut yang merosakkan struktur kediaman mereka.

Menurut salah seorang mangsa, Abdul Hazid Abdul Hamid, ketika kejadian beliau berada di masjid dan sebaik pulang terkejut melihat kediamannya telah mengalami pecah tingkap dan bocor dihempap atap rumah lain.

Bagaimanapun, dalam kejadian angin kencang itu katanya, tiada anggota keluarganya yang cedera di mana kebanyakan penghuni berada di rumah masing-masing ketika itu.

Hadir sama adalah Setiausaha Pasdec Makmur, Aizan Mamat dan Pengerusi JKKK Kampung Tiram, Abd Rahman Mohamad dan Pengerusi KRT Pasdec Makmur, Rogayah Hasan selain wakil dari Umno Kampung Talam.

Sumbangan membaik pulih kediaman mangsa-mangsa boleh disalurkan ke akaun BIMB 6019010057792 PAS Kawasan Indera Mahkota atau hubungi Bendahari, Wan Ismail Wan Ibrahim di talian 019-989 8311. – HARAKAHDAILY 3/11/2020

- Advertisement -