Aedes kekal menjadi ancaman pasca PKP

- Advertisement -

PADANG RENGAS: Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Paya Panjang telah menganjurkan Gotong-Royong Perangi Aedes, di sini pagi kelmarin.

- Advertisement -

Program juga diadakan dengan kerjasama Pejabat Penghulu Mukim Kampung Buaia, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dan Pejabat ADUN Lubuk Merbau.

Ahli JPKK Paya Panjang yang juga merupakan Ahli Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Ustaz Azizi Ridzuan ketika ditemui mengharapkan masyarakat terus membasmi nyamuk Aedes.

“Walaupun kes (denggi di sini) tak banyak, hanya terdapat satu kes sahaja. Tapi kalau nak bandingkan kes denggi ni dengan kes COVID-19, denggi ni bahaya lagi dari COVID-19.

“Dia (denggi) tidak menyeluruh tapi kes kematian lebih banyak,” ujarnya yang turut sama bergotong-royong dan meninjau pelbagai aduan penduduk setempat.

Menurut Penghulu Mukim Kampung Buaia, Ahmad Syihan Ahmad Suhaimi, program ini merupakan kesinambungan daripada kempen pembersihan kendiri di kediaman peribadi, kelmarin dahulu.

Justeru menurut Ahmad Syihan, gotong-royong ini lebih berfokus kepada pembersihan dan kutipan sampah di lokasi-lokasi awam melibat Kampung Paya Panjang, Kampung Jaya dan Rancangan Perumahan Awam 1.

Hadir sama dalam program ini ialah beberapa pimpinan politik dari PAS,  Umno dan BERSATU serta dua orang pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar dari Unit Vektor. – HARAKAHDAILY 3/11/2020

- Advertisement -