Sukar cari pengganti tokoh pidato PAS

KOTA BHARU: Kehebatan pidato almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tan Sri Mohd Asri Muda sukar dicari ganti sehingga sekarang.

Mereka mempunyai keistimewaannya tersendiri menarik perhatian orang ramai ketika menyampaikan ceramah dan syarahan.

Begitu juga kehebatan allahyarham Ustaz Buniyamin Yaakub yang meninggal dunia kira-kira 17 tahun lalu pun belum ada pengganti sehingga sekarang.

Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kebolehan allahyarham menangkis tohmahan dan dakyah pihak lawan sukar ditandingi.

Katanya hujah pemimpin PAS terbabit tidak mampu dibalas balik pihak lawan.

Advertisement

“Mujur sekarang Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud boleh mengisi ruang yang ditinggalkan tersebut.

“Kalau tidak kita langsung tiada penceramah hebat yang mampu menangkis serangan musuh dengan cara yang tersendiri,” ujarnya ketika merasmikan pentas akhir Syarahan Perdana Anak Muda di sebuah hotel di sini semalam.

Mereka merebut Piala Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pada program itu Abdullah Long berjaya membawa pulang RM1,000 apabila dinobatkan sebagai johan. Tempat kedua Nurul Nabihah Ahmad Basri memenangi wang tunai RM700 dan ketiga Mohd Fadhlan Elyas (RM500).

Selain itu mereka turut membawa pulang piala iringan dan sijil penghargaan.
Program tersebut dianjur Unit Libat Urus Masyarakat (ULUM) dan Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Kelantan (UPKN).

Mohd Amar juga berkata, penceramah pelapis perlu sentiasa digilap bagi menggantikan pemimpin terdahulu yang hebat ketika menyampaikan ceramah. – HARAKAHDAILY 2/11/2020