Steven asas My Kitchen bantu warga susah

- Advertisement -

KEJUJURAN beliau yang enggan pelanggan diperdaya mengenai status halal di restoren sebuah kelab resort eksklusif di Bayan Lepas, Pulau Pinang telah berkesudahan dia dibuang kerja oleh majikannya. Tanpa memiliki sijil yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam memberi pengesahan halal, premis tersebut menipu ramai pelanggan terutama Muslim.

- Advertisement -

Malah, Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang juga pernah memberikan notis bahawa premis itu gagal memenuhi syarat untuk pensijilan halal diberikan. Namun, tanpa pengetahuan pengguna, pakej kenduri kahwin mahupun Bufet Ramadan sering dipromosikan untuk menarik kunjungan pelanggan.

Tetapi bagi Steven Kon Tien Yew, 39, perkara tersebut apatah lagi penggunaan barangan mentah tidak halal atau tiada pengesahan halal dan peralatan digunakan bercampur adalah subahat yang tidak patut beliau kompromikan. Akhirnya sebagai ketua tukang masak atau ketua cef, beliau kehilangan pendapatan yang tidak sikit kerana ‘perjuangan’ itu.

Pun begitu, episod tersebut tidak menghentikannya dari mengalirkan kepihatinan kepada masyarakat terutama golongan memerlukan. Sifat kesukarelawanannya telah menginisiatifkan pelbagai usaha dan bantuan kepada orang ramai. Bagi menguatkan lagi peranan itu, beliau menyertai Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Negeri Pulau Pinang dan setelah itu diberi kepercayaan sebagai Timbalan Pengerusi.

Banyak beliau lakukan terutama bersama Pengerusi DHPP Pulau Pinang, K Jayaraman dalam memasyarakatkan PAS dan menjadi penghubung kepada pelbagai kaum. Tidak henti-henti menolong orang susah, selain beliau juga serius memantapkan organisasi DHPP dan rajin menghadiri setiap program dan mesyuarat termasuk di peringkat Pusat.

Aktivis yang tidak mengenal penat lelah ini juga selalu ke lapangan masyarakat menyantuni mereka dengan pelbagai keperluan. Antara yang paling terkini diusahakannya adalah sebagai Pengasas My Kitchen di mana menjalankan jualan perniagaan makanan secara atas talian.

Tetapi My Kitchen bukan dapur biasa-biasa. Dari setiap bungkusan makanan dijualnya, Steven memperuntukkan RM0.50 ke tabung khas. Dana ini digunakan semula olehnya untuk membuat masakan makanan yang kemudian didermakan untuk orang-orang miskin dan gelandangan. Termasuk disantuni beliau adalah orang kelainan upaya (OKU), anak yatim dan warga emas di pusat jagaan orang tua.

Kata Steven, kesusahan dialami golongan tersebut termasuk rakyat Malaysia lain ketika ini kian bertambah disebabkan pandemik COVID-19. Maka bagi beliau, usaha dibuatnya itu adalah inisiatif kecil yang diharap dapat meringankan beban dialami golongan dibantunya itu.

“Sekiranya setiap orang dapat memainkan sedikit peranan pada masa pandemik COVID-19 yang susah ini, saya percaya kita akan bangkit dan mengatasinya,” ujar beliau penuh optimis. – HARAKAHDAILY 1/11/2020

- Advertisement -