TASTI tawar pendidikan awal anak berteras Islam

- Advertisement -

PARIT: Penghayatan gaya hidup Islam amat penting untuk diterapkan di awal usia kerana ia membawa impak dan pengaruh besar terhadap personaliti, tingkah laku dan kemenjadian diri seseorang.

- Advertisement -

Pengurus Taska Tunas Insan (TASTI) Assolehah, Sakinah Ropien berkata, lantaran itu TASTI Assolehah telah mula ditubuhkan sejak Februari lalu bagi menyahut seruan Dewan Muslimat PAS Malaysia untuk ditubuhkan di peringkat Negeri dan Kawasan.

Ironinya, TASTI mempunyai visi tersendiri yang berbeza dengan taska asuhan lain iaitu menerapkan penghayatan Asmaul Husna dalam kehidupan harian kanak-kanak.

“Setiap guru yang mengasuh di sini (sudah) terlebih dahulu menjalani beberapa khusus khas. In sya Allah, selain menawarkan tempat penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak berteraskan Islam, TASTI juga menyediakan persekitaran kondusif dan selamat untuk kanak-kanak.

Alhamdulillah TASTI Assolehah kini sepenuhnya beroperasi di bawah Dewan Muslimat PAS Kawasan Parit yang dipimpin Dr Najihatussalehah Ahmad.

“Di sini kita ada 14 orang kanak-kanak di mana ada di antaranya bayi di bawah umur setahun dan kanak-kanak berumur lingkungan satu hingga empat tahun,” jelasnya.

Menurutnya lagi, TASTI Assolehah yang beroperasi setiap hari Isnin hingga Jumaat dengan jumlah keseluruhan tiga orang guru sebagai pengasuh itu kini hanya menyewa di sebuah premis yang memakan belanja RM400 sebulan.

Oleh hal demikian, pihaknya mengalu-alukan sumbangan dan bantuan orang ramai bagi menampung kos operasi dan pengurusan TASTI As Solehah.

“Jika ada yang nak menyumbang barang-barang yang sesuai untuk taska (pun) kami terima. Contohnya rak buku, rak mainan, buku cerita kanak-kanak dan bahan permainan yang bersesuaian,” ulasnya lanjut.

Sumbangan dana dan infak orang ramai boleh disalurkan terus ke akaun Bank Islam Taska Tunas Insan Assolehah 08086010036258 atau hubungi talian 013-3664574 (Sakinah) untuk sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut. – HARAKAHDAILY 31/10/2020

- Advertisement -