Sejauh mana kita menyambung perjuangan Rasulullah?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Golongan wanita dalam masyarakat Arab jahiliyah hidup dalam kegelapan, ditindas dan penuh kesengsaraan sebelum kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W.

- Advertisement -

Pendakwah, Ustazah Nurhaslyzha Zainol berkata, hinggakan masyarakat itu tidak boleh menerima perkhabaran kelahiran anak perempuan yang dianggap sebagai hina dan memalukan pada ketika itu.

“Anak perempuan ini dianggap lemah dan tidak mampu membantu sesebuah perniagaan. Satu kerugian buat mereka. Akibat kebejatan masalah sosial ketika zaman itu juga, wanita dilihat akhirnya akan dijadikan tidak lebih dari bahan pemuas nafsu.

“Justeru bila lahir anak perempuan, mereka akan berkira-kira mahu menjaga dalam kehinaan atau kuburkan secara hidup-hidup,” ujar beliau dalam webinar mengupas tajuk ‘Maulidur Rasul: Ikhtibar Buat Wanita’ anjuran Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, kelmarin.

Terang beliau, tradisi kehidupan wanita sebelum kedatangan Islam, bagi isteri yang kematian suami, seluruh harta peninggalan suami akan diambil dan wanita tersebut tidak akan dikahwini oleh orang lain, tetapi semata-mata sebagai bahan pemuas nafsu.

Jika terdapat wanita yang kaya dan bersuami pula ujarnya, masyarakat ketika itu akan berkomplot membunuh suaminya, di mana harta wanita tersebut akan dirampas dan beliau akhirnya akan dizihar.

Manakala, wanita yang mengikuti kaum lelaki ke medan perang pula menurut beliau, seandainya berlaku satu kesalahan dalam kabilahnya, wanita terbabit akan menjadi tawanan sebagai pemuas nafsu selamanya.

Kabilah-kabilah pada waktu itu juga terang beliau, sangat suka berperang, maka tidak hairan wanita juga turut terpaksa mengikuti ke medan perang sebagaimana kaum lelaki mereka.

Kupasnya juga, konsep poligami ketika itu membenarkan seorang lelaki berkahwin dengan seberapa ramai wanita tanpa had, namun apabila Islam datang, Islam menghadkan poligami sehingga empat orang isteri sahaja.

“Wanita ketika kemuncak zaman jahiliyyah ibarat barang yang tidak bernyawa, boleh diwarisi dan dijual beli. Maruah wanita diinjak-injak bagai tiada nilai. Maka, apabila Nabi Muhammad lahir, beliau datang bersama sinar Islam, rahmat buat wanita.

“Wanita diangkat ke martabat yang mulia di sisi Allah dan Rasulullah. Bila ada Sahabat datang bertanya Baginda, siapakah yang perlu dia hormati, tiga kali Baginda mengulangi ibumu dan kemudian baru bapamu.

“Tidak kurang juga dengan tuntutan yang jelas untuk berbuat baik terhadap isteri dan saudara-saudara perempuan yang banyak tercatat dalam Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad,” kata beliau.

Ustazah Nurhaslyzha turut mengingatkan bahawa disebabkan kegigihan Nabi Muhammad membawa ajaran Islam, agama ini telah tersebar hingga ke seluruh pelusuk dunia termasuk di rantau Nusantara ini.

“Nikmat Islam yang telah menyelamatkan wanita dari ancaman yang dialami oleh wanita terdahulu seharusnya dijaga dengan ilmu. Ketika zaman Nabi Muhammad, begitu banyak kisah yang menyaksikan wanita telah menjadi sayap yang penting dalam membantu perjuangan Islam.

“Lihat bagaimana kisah Asma’ Abu Bakar yang gigih mendaki Gua Thur menghantar bekalan buat Nabi Muhammad dan Saidina Abu Bakar ketika peristiwa Hijrah, meski saat itu beliau sedang mengandung, kesungguhan beliau untuk membantu perjuangan Nabi telah memberi kekuatan yang luar biasa pada beliau.

“Lihat juga bagaimana pengorbanan yang dilakukan oleh Saidatina Khadijah yang asalnya merupakan wanita bangsawan yang kaya banyak harta, habis kesemuanya diinfaqkan pada jalan perjuangan Islam sehingga ke akhir hayat beliau.

“(Tetapi) Sejauh mana kita wanita hari ini telah menyambung perjuangan Rasulullah S.A.W? Setelah kita menikmati nikmat Islam daripada mereka yang berjuang habis-habisan, apa kita hanya menerima dan tidak mahu memberi?” lontarnya.

Beliau mengajak agar sama-sama buktikan cinta kita pada Nabi Muhammad dengan menyambung dakwah Islam yang telah diperjuangkan oleh Baginda antaranya memartabatkan wanita agar dipelihara dan diangkat serta

Juga Ustazah Nurhaslyzha mengajak supaya Islam dipertahankan demi kesejahteraan ummah sejagat sebagaimana ayat 107 surah al-Anbiya’ bahawa Nabi Muhammad diutuskan sebagai rahmat buat seluruh alam. – HARAKAHDAILY 30/10/2020

- Advertisement -