PAS Taiping kehilangan pendidik komited

- Advertisement -

TAIPING: Dewan Muslimat PAS Kawasan Taiping menzahirkan rasa hiba ke atas kehilangan seorang tenaga pengajar PASTI Al-Falah, Kampung Jana Kamunting, Al-Marhumah Nur Diana Md Yusuf yang telah kembali ke rahmatullah, awal pagi kelmarin.

- Advertisement -

Menurut Timbalan Ketua Muslimat PAS Taiping, Ustazah Hasna’ Ab Samad, perkhabaran itu memeranjatkan ramai pihak khususnya Muslimat PAS Taiping kerana Al-Marhumah amat dikenali sebagai muslimat yang komited dengan jemaah.

Kongsinya, selain bergiat aktif sebagai pendidik di PASTI sejak Ogos 2017, Al-Marhumah Diana atau yang lebih mesra dengan Muallimah Diana juga merupakan muslimat yang aktif dalam program-program jemaah di kawasan Taiping.

Namun begitu jelasnya, semua pihak harus akur dan redha dengan ketetapan Ilahi termasuk ahli keluarga al-marhum iaitu suami dan dua anak yang pastinya amat terkesan dengan pemergian beliau ini.

“Pemergian Muallimah Diana ini sememangnya merupakan suatu kehilangan besar PAS khususnya warga PASTI. Telah ramai generasi dan anak-anak PASTI yang menjadi anak didik beliau sebelum ini. InsyaAllah moga (ia) menjadi amal yang berpanjangan buatnya,” ujar Ustazah Hasna’

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria diiringi Pengarah Jabatan PASTI Negeri Perak, Ustaz Mohd Azahari Yahaya bagi menzahirkan rasa simpati dan takziah seterusnya menyampaikan sumbangan kepada keluarga Al-Marhumah. – HARAKAHDAILY 28/10/2020

- Advertisement -