Insiden Dayang Topaz: Pemuda PAS rakam takziah

- Advertisement -

SAYA mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan rasa takziah dan simpati atas insiden yang berlaku kepada Kapal Penyelenggaraan Pelantar ‘Dayang Topaz’ yang terlibat dalam insiden pelanggaran dengan Pelantar Minyak Baram B awal pagi tadi berikutan cuaca buruk di lokasi kejadian kira-kira 7.7 batu nautika dari Kuala Baram Miri. Sehingga setakat petang ini, dua mangsa dikenalpasti maut dan 185 anak kapal dan petugas pelantar dari ‘Dayang Topaz’ berjaya diselamatkan .

Insiden tersebut sangat terkesan pada diri saya kerana Kapal Penyelenggaraan Pelantar ‘Dayang Topaz’ dan juga Kompleks Pelantar Minyak Baram adalah antara tempat-tempat yang pernah saya melaksanakan tugasan di lapangan pada suatu ketika dahulu.

Insiden tersebut diklasifikasikan pada Tier 2 (Level 2) yang memerlukan sokongan di peringkat ‘Country and Region’untuk kerja-kerja pencarian dan menyelamat (SAR) melibatkan koordinasi oleh Maritime Rescue Control Centre(MRCC) berserta agensi-agensi berkenaan dengan bantuan sokongan daripada semua pihak serta dan aset-aset marin syarikat Minyak dan Gas yang berada berdekatan lokasi kejadian. Pelan tindakan berasaskan kepentingan mengikut turutan di mana menyelamatkan nyawa menjadi keutamaan – ‘Priority in order of importance PEAR (People , Environment, Asset and Reputation).’ Pihak DPPM juga ingin merakamkan terima kasih atas tindakan segera dari semua pihak dalam manangani insiden ini.

- Advertisement -

Bidang pekerjaan di Sektor Huluan Minyak dan Gas adalah sangat berisiko tinggi terdedah kepada risiko bahaya Hidrokarbon itu sendiri di tempat terasing di tengah lautan dan juga faktor cuaca yang mempengaruhi aktiviti pekerjaan logistik dan sokongan kepada Pelantar Minyak. Lapangan-lapangan minyak khususnya di perairan Sabah dan Sarawak agak terdedah pada perubahan cuaca mendadak disebabkan titik tekanan rendah yang berubah-ubah semasa peralihan monsoon di samping terkena kesan dari laluan taufan di Utara Sabah pada ketika ini.

Selain kepakaran dan amalan cara kerja yang selamat dengan tahap keselamatan yang tinggi untuk petugas pelantar, pengalaman juga memainkan peranan penting untuk memastikan kerja-kerja dapat dilaksanakan dan ‘survival’ dalam menghadapi risiko-risiko yang berkenaan. Tenaga kerja di sektor huluan minyak dan gas yang rata-ratanya adalah dari kaum Melayu dan Bumiputera wajar mendapat pengiktirafan dari kita rakyat Malaysia atas jasa mereka menjaga perbendaharaan negara dan menyumbang antara yang terbesar kepada KDNK negara.

IR. TS. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 28/10/2020

- Advertisement -