AMAL Perak baik pulih rumah penduduk

- Advertisement -

IPOH: Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Negeri Perak komited memainkan peranan menjayakan program-program kebajikan, kemasyarakatan dan kesukarelawan dari semasa ke semasa tanpa mengharapkan bayaran atau keuntungan.

- Advertisement -

Ia selari dengan tuntutan Islam dan tarbiyah PAS yang menuntut ahlinya menabur bakti kepada masyarakat melalui konsep ta’awun dalam mengerjakan kebaikan, demikian kata Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait.

“Dalam kerja-kerja amal ini, tidak kira siapa kita dan tinggi rendah jawatan kita di dalam parti. Bila ada seruan jihad, semua perlu pakat turun dan bantu dengan hati yang penuh ikhlas. Inilah istimewanya hasil tarbiyah PAS.

“Baru-baru ini, AMAL Perak telah dikerahkan membantu membaik pulih sebuah rumah yang uzur. Saya dapat lihat, keberkesanan tarbiyah PAS itu melalui semangat jitu yang ditonjolkan sahabat-sahabat Pemuda khususnya yang sama-sama bertungkus lumus membantu proses baik pulih,” kongsinya.

Menurut Ustaz Faisal, program gotong-royong tersebut telah berlangsung di kawasan Gopeng, Ahad lalu melibatkan sebuah rumah didiami seorang ibu tunggal yang tinggal bersama enam anak perempuan.

Seramai 20 anggota AMAL turut serta di dalam gotong-royong tersebut di mana antara kerosakan yang dibaiki ialah bumbung, dinding telah pecah di beberapa bahagian serta keseluruhan pendawaian elektrik juga memerlukan baik pulih.

Jelas Ustaz Faisal, usaha itu juga turut mendapat sokongan dan bantuan dari penduduk setempat, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Ahli Majlis Gopeng, Ustaz Azmi Murad Yusof.

“Kita terima maklumat awal daripada penduduk setempat yang memaklumkan kepada ana (saya) dan Ahli Majlis. Kemudian kami (terus) menghubungi JPPK, Ustaz Mohd Zain Mohd Nor. Sumbangan untuk menjayakan program ini (telah) diselaraskan oleh Pusat Pengajian Darul Ta’lim, Simpang Pulai.

“Anggaran 20 anggota Amal yang hadir membantu menjayakan usaha ini. (Mereka) masing-masing bermalam di kawasan berhampiran dengan menyewa homestay berdekatan selama 2 hari. Alhamdulillah melalui kolaborasi anggota amal, JPKK dan Ahli Majlis (ini) kita berjaya membantu mereka yang memerlukan,” ceritanya.

Turut hadir penduduk kampung dan beberapa Ahli Majlis Gopeng yang lain antaranya Ustaz Abu Bakar Hussien dan Shamsul Baharin Yahaya. – HARAKAHDAILY 28/10/2020

- Advertisement -