Warga asnaf keluar kepompong kemiskinan

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Separuh daripada 27 asnaf dan fakir miskin yang ditempatkan di Desa Alam Shah, Kampung Gong Jenarah, Gaal berjaya keluar dari kepompong kemiskinan.

Mereka mengusahakan aktiviti pertanian secara komersial dengan menanam sayur-sayuran.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanaan II, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, projek agroekonomi yang ditubuhkan bagi berkongsi zakat dari Selangor.

Katanya ia merupakan kerjasama strategik antara Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi membantu golongan asnaf di bawah projek ‘Selangor Prihatin’.

Menurutnya, LZS memperuntukkan dana pembangunan sebanyak RM10 juta bagi membangunkan tanah seluas 14 hektar di kampung berkenaan yang diduduki pada Mei 2016, kini merupakan penempatan pusat ilmu agrotani yang cemerlang.

“Projek penempatan itu hanya untuk tempoh lima tahun dan peserta terbabit akan keluar dengan membawa ilmu dan kemahiran yang diajar untuk berdikari dalam komuniti bagi membolehkan asnaf lain pula menikmati peluang yang sama.

“Pandemik Covid-19 turut memberi kesan kepada peserta terutamanya sumber pendapatan. Kementerian akan berbincang dengan pihak pengurusan projek untuk menambah setahun lagi tempoh mereka tinggal di penempatan itu,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di penempatan berkenaan di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, Adun Gaal Mohd. Rodzi Jaafar dan Pengerusi Persatuan Peladang Kawasan Bukit Awang (PPK) Tengku Azis Tuan Deraman.

Che Abdullah juga berkata, pendapatan bulanan hasil cili kulai di bawah bimbingan PPK Bukit Awang berjaya memberi sumber pendapatan bulanan sebanyak RM1,200.

Selain itu, mereka juga memperolehi pendapatan sampingan menerusi projek tanaman silingan seperti jagung, labu manis, timun dan bendi.

Katanya, peserta juga aktif dengan Projek Ternakan Ikan Puyu Siam Baka Chumpon yang mendapat pasaran yang tinggi.

Tambahnya lagi, bagi menjana pendapatan peserta turut didedah kursus kemahiran dan keusahawanan seperti asas membuat roti, kek, biskut raya, kuih muih dan jahitan. – HARAKAHDAILY 25/10/2020

- Advertisement -