Ibu bapa perlu tahu kawal anak zaman digital

- Advertisement -

KUANTAN: Anak-anak adalah anugerah Allah yang menjadi saham akhirat buat ibu bapa serta membawa mereka menuju syurga, namun juga boleh menyebabkan terheret ke neraka.

- Advertisement -

Sehubungan itu, amat penting ibu bapa melengkapkan diri dengan ilmu dalam mendidik anak-anak terutama penglibatan diri dalam dunia alam maya supaya tahu kaedah betul mengawal mereka.

Pendakwah, Ustazah Asma’ Harun mengingati hal tersebut ketika membicarakan tajuk ‘Ibu Bapa Ideal, Magnet Anak-Anak Digital’ dalam forum di Dewan Orkid Kompleks Dagangan Mahkota, di sini semalam.

Beliau menyeru ibu bapa memperhebatkan amalan solat sunat taubat dan istighfar ketika anak-anak bermasalah, selain doa dari ayat 100 surah as-Saffat memohon kesolehan anak-anak.

“Apabila kita disuruh Allah untuk ikut perintah-Nya, bersegera Sami’na wa Atho’na, tapi apabila Allah tegur yang ditegah, segera meninggalkannya,” ujarnya memimpin untuk mendampingi Allah.

Program bertujuan mengutip dana Rumah Nak Yatim dan Miskin Dynasty Kuantan ini turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar dan ADUN Beserah, Andansura Rabu.

Ustaz Rosli dalam ucapannya menyeru hadirin mencari rahmat Allah antaranya dengan menyantuni anak-anak yatim yang boleh dibuat dengan menghulurkan sumbangan bagi keperluan mereka.

Hadir sama Pengerusi dan Penasihat Pertubuhan Kebajikan Darul Nisa At-Thohirah (Dynasty), Maskazila Ismail dan Azizah Ali meraikan para tetamu dalam majlis terhad itu.

Para dermawan yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian ke Dana Tabung Anak Yatim dan Miskin Dynasty menerusi akaun CIMB 8602591403 atas nama Nisa At-Thohirah. – HARAKAHDAILY 25/10/2020

- Advertisement -