Kerjasama Perikatan Nasional makin kukuh

KANGAR: Keputusan Umno mengenepikan perbezaan dan menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) merupakan perkembangan baik bagi mengurangkan ketegangan politik.

Advertisement

Mursyidul AM PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata, semua pihak perlu menjernihkan suasana bagi memberi fokus membantu kerajaan menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi.

Menurutnya perkembangan terbaharu itu menunjukkan kerjasama membabitkan PAS, Umno dan Bersatu akan kukuh.

“Saya nampak kenyataan Presiden Umno (Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) untuk melakukan gencatan politik akan menjernihkan ketegangan politik di negara ini.

“Saya harap perjuangan dalam menguatkan perpaduan Melayu Islam akan kembali ke landasan yang betul.

“Diharap tidak ada lagi masalah yang timbul membabitkan parti-parti Melayu bagi kukuhkan kerjasama,” katanya di sini.

Baru-baru ini Ahmad Zahid mengumumkan gencatan politik dan akan terus mendukung PN untuk memberi fokus kepada agenda membantu rakyat mendepani Covid-19 serta kegawatan ekonomi. – HARAKAHDAILY 23/10/2020