Henti ‘double standard’ jangan hina Nabi kami

- Advertisement -

PAS mengecam pembunuhan yang berlaku di Eragny, utara Paris, Perancis di mana seorang guru Samuel Petty telah dibunuh setelah menunjukkan karikatur kontroversi Nabi Muhammad SAW kepada muridnya di sekolah pada Jumaat lalu.

- Advertisement -

Bagi PAS, mana – mana tindakan kejam dan pembunuhan adalah salah dan dilarang oleh agama Islam walau apa sekalipun tujuannya.

Namun begitu tindakan provokasi dan intimidasi terhadap agama Islam tidak harus dipandang ringan dan sambil lewa seperti karikatur menghina Nabi Muhammad SAW yang dikeluarkan oleh majalah Charlie Hebdo kerana tindakan sebegitu telah menimbulkan kemarahan umat Islam bukan sahaja di Perancis malah di seluruh dunia.

Tindakan provokasi tersebut sudah semestinya mengundang pelbagai tindak balas yang tidak disangka sepertimana yang berlaku baru – baru ini. Tindakan provokasi sedemikian bukan sahaja seharusnya dibendung pantas malah sewajarnya dikenakan tindakan oleh pihak berwajib kerana ia mampu mengundang pertikaian berpanjangan mahupun perlakuan kejam.

Dunia Barat tidak harus mengamalkan sikap double standard terhadap Islam, kononnya di atas nama kebebasan. Double standard yang diamalkan Barat sedemikian pada masa kini jelas menimbulkan perjudis dan provokasi terhadap Islam dan umatnya.

Jika berlaku penghinaan dan provokasi terhadap agama Yahudi ataupun Israel maka kerajaan dengan mudah boleh kenakan tindakan undang – undang seperti Anti Semitic Law , kenapakah jika perkara yang sama berlaku ke atas Islam dan umatnya, ia didefinisikan atau diklasifikasikan sebagai “kebebasan bersuara” walhal Islam juga adalah agama samawi ( semitic ) seperti Yahudi dan Kristian?

PAS percaya mana – mana penganut agama di dunia ini baik Islam, Kristian, Yahudi, Buddha atau Hindu tidak suka jika agama dan tokoh agama mereka dipermainkan dan dihina. Sikap agresif dan provokasi sedemikian sudah tentunya akan menimbulkan kemarahan dan tindak balas luar jangkaan oleh penganut mana – mana agama berkenaan.

Oleh itu PAS menggesa Kerajaan Perancis bertindak adil dan saksama dalam menangani isu sebegini serta mencari kaedah terbaik untuk menanganinya dan bukan dengan menyalahkan Islam dan penganutnya semata – mata.

Oleh yang demikian, tindakan melabelkan Islam sebagai agama “ ekstrimis “ adalah sangat tidak wajar dan berlaku tidak adil kepada seluruh umat Islam di dunia terutamanya di Perancis sendiri yang pernah menggegar dunia dengan memulakan Revolusi Perancis atas nama “menuntut hak dan keadilan”. Sesungguhnya Islam adalah agama yang adil dan penuh kasih sayang. Jangan keruhkan keadaan dengan melabelkan Islam sedemikian rupa.

Islam Memimpin Perpaduan

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 23/10/2020

- Advertisement -