Pembangkang Kedah ketandusan isu – Ahmad Yahaya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Kedah Senator Ustaz Ahmad Yahaya menyifatkan pembangkang di Kedah ketandusan isu untuk menyerang pentadbiran kerajaan negeri itu.

- Advertisement -

Beliau merujuk fitnah pembangkang Kedah memainkan isu pembelian kereta pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang kononnya dibeli untuk kegunaan peribadi Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Mohd Nor.

Oleh itu, kata Ustaz Ahmad, tindakan Muhammad Sanusi memfailkan saman ke atas beberapa individu termasuk bekas pemimpin-pemimpin kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) sebagai tindakan tepat.

“Bagi PAS Kedah, kita menyokong tindakan Menteri Besar mengambil tindakan saman kepada individu-individu yang membuat tuduhan melulu, bahkan tuduhan itu boleh dikatakan sebagai fitnah.

“Sebab kerajaan negeri dan PAS sebagai parti bersama dengan rakan-rakan muafakat Kedah, kita boleh menerima teguran, pandangan, bahkan kritikan sekalipun.

“Tetapi kita tidak bersedia untuk menerima fitnah, fitnah ini memang kita tidak berkompromi,” ujarnya yang menyokong penuh tindakan Muhammad Sanusi.

Ustaz Ahmad pada masa sama turut berharap pihak pembangkang dapat memberi pandangan-pandangan yang baik serta cadangan-cadangan yang membina selepas ini dan tidak mereka-reka cerita atau fitnah.

“Memang kita maklum, pembangkang ini sifat dia ialah dia nak kritik, dia nak komen. Jadi, kita terbuka untuk menerima kritikan, menerima pandangan dan sebagainya.

“Tetapi bukan dalam bentuk fitnah atau cerita yang sengaja direka-reka. Oleh itu, dalam isu Vellfire yang dibeli oleh SADA, tuduhan mengatakan ia arahan Menteri Besar Kedah, mengatakan untuk kepentingan peribadi, itu adalah bersifat fitnah kepada Menteri Besar Kedah,” ujarnya kepada Harakahdaily. – HARAKAHDAILY 23/10/2020

- Advertisement -