Sifar rasuah kejayaan paling besar Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Keupayaan Kelantan mempertahankan pentadbiran negeri tanpa sebarang kes membabitkan rasuah dan penyelewengan sejak 30 tahun lalu dianggap pencapaian paling besar.

Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, keupayaan itu lebih penting berbanding kejayaan dalam sektor lain termasuk pembangunan.

- Advertisement -

Katanya, kejayaan mempertahankan Kelantan sebagai negeri bebas rasuah dan tiada salah urus tadbir menarik perhatian banyak pihak.

“Jadi kejayaan itu perlu kita pertahankan sampai bila-bila. Kelantan boleh menjadi model kepada negeri-negeri lain,” katanya pada Ceramah Perdana sempena sambutan 3 Dekad pentadbiran Membangun Bersama Islam di Dewan Zulkifli Mohammad Pejabat Perhubungan PAS Kelantan, malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, Setiausaaha Perhubungan PAS Kelantan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, Ketua Penerangan Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dan wakil-wakil rakyat.

Program itu diadakan dengan menghadkan kehadiran.

Orang ramai boleh mengikut ceramah tersebut yang disiarkan secara langsung atas talian melalui Kelantan TV.

Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata, cabaran besar yang dihadapi PAS sekarang apabila berada bersama Perikatan Nasional yang menguasai Putrajaya.

“Generasi muda sekarang hendak tengok apa yang boleh kita buat setelah berada dalam pentadbiran kerajaan persekutuan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/10/2020

- Advertisement -