PAS Balik Pulau kehilangan veteran istiqamah

- Advertisement -

BALIK PULAU: PAS Kawasan Balik Pulau kehilangan seorang veteran parti, Rahim Rahmat, 75 yang menghembus nafas terakhir di Hospital Besar Pulau Pinang tengah malam kelmarin.

- Advertisement -

Kematian Allahyarham yang lebih mesra dengan panggilan Haji Rahim akibat komplikasi buah pinggang dan meninggalkan seorang balu dan tujuh anak iaitu seorang lelaki dan enam perempuan.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai suatu kehilangan besar kepada perjuangan PAS Balik Pulau.

Katanya, arwah merupakan Ahli Jawatankuasa As-Sabiqun PAS Balik Pulau, bekas Calon PAS DUN Teluk Bahang pada tahun 1995 dan juga Pengasas PAS Cawangan Sungai Burung suatu ketika dahulu.

“Saya mewakili PAS Kawasan Balik Pulau merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham (Haji Rahim) dan harap bersabar dengan ketentuan Allah S.W.T ini.

“Kami di peringkat PAS Balik Pulau amat bersedih dengan berita ini dan merasakan satu kehilangan dalam permata perjuangan PAS.

“Semoga, hasil pengorbanan beliau selama berada dalam perjuangan PAS sehingga akhir hayatnya diberi ganjaran pahala oleh Allah S.W.T, _in sya Allah_,” ujarnya sedih.

Sepanjang hayatnya, arwah banyak menginfakkan harta di dalam perjuangan PAS dengan menubuhkan PASTI, Pejabat Dewan Pemuda PAS Kawasan dan dahulunya kawasan rumah arwah akan dijadikan pentas ceramah PAS.

Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Qaryah Sungai Burung Balik Pulau yang diimamkan oleh menantu lelakinya Ustaz Muhammad Imran Saad yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Jelutong.

Jenazah seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Qaryah Sungai Burung dan anntara pimpinan PAS Balik Pulau yang hadir solat jenazahnya adalah Ustaz Fauzi dan Timbalan Yang DiPertua, Mohd Taufik Hashim.

Juga Ketua Penerangan PAS Balik Pulau, Borhan Omar serta Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Kawasan dan Dewan-dewan, selain turut dibantu sepanjang perjalanan terakhir Allahyarham ialah Jabatan Amal Malaysia Balik Pulau. – HARAKAHDAILY 22/10/2020

- Advertisement -