Potensi zakat dan waqaf menangani kemiskinan

- Advertisement -

SAMBUTAN Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa (International Day for the Eradication of Poverty) disambut pada 17 Oktober setiap tahun bagi menghormati mangsa kemiskinan, kelaparan, keganasan dan ketakutan di seluruh dunia. Oleh itu, marilah kita sama-sama meyakini Syariat Islam sebagai kaedah terbaik merawat masalah kemiskinan. Usaha ini memerlukan kerjasama yang menyeluruh daripada semua pihak dalam mengambil sikap prihatin dan saling memberi.

- Advertisement -

Firman Allah S.W.T:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَـئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

 (at-Taubah: 71)

Zakat merupakan salah satu daripada sumber ekonomi utama bagi Negara Islam. Pengurusan zakat secara efisien dan sistematik mampu melonjakkan potensi zakat sebagai instrumen pembangunan umat Islam. Memanfaatkan dana zakat secara optimum sememangnya penting bagi meningkatkan kualiti dan potensi setiap orang Islam. Di Malaysia, pentadbiran dan pengurusan zakat dikelola oleh Majlis Agama Islam di setiap negeri. Pihak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) bertanggungjawab dalam menentukan kelayakan penerima serta bentuk bantuan yang bersesuaian dengan latar belakang setiap penerima agar bantuan yang diberikan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin. 

Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) merupakan salah sebuah Badan Berkanun Negeri Perak. Secara umumnya, MAIPk menjadi organisasi utama yang bertanggungjawab dan diamanahkan untuk mengurus zakat dan wakaf di Negeri Perak. Dana zakat merupakan instrumen penting kepada lapan golongan asnaf yang perlu dibantu dengan pelbagai jenis bentuk dan skim bantuan yang telah MAIPk sediakan. 

Skim bantuan zakat yang disediakan bagi asnaf adalah seperti berikut: 

(1) Bantuan Bulanan.
(2) Bantuan Bina rumah.
(3) Bantuan Sewa rumah.
(4) Bantuan Perubatan.
(5) Bantuan Aidilfitri.
(6) Bantuan Kecemasan atau segera.
(7) Bantuan Pengurusan jenazah.
(8) Bantuan Persekolahan atau IPTA atau IPTS.
(9) Bantuan Galakan kelas fardhu ain.
(10) Bantuan Modal. 
(11) Program Kursus dan Latihan.

Menjadi satu cabaran bagi MAIPk untuk membantu semua golongan asnaf, terutama asnaf fakir dan miskin supaya dapat mengubah kehidupan dan mengeluarkan golongan ini daripada kepompong kemiskinan. Sumber zakat ini akan dikumpulkan dan diagihkan ke setiap daerah di negeri ini secara tepat kepada asnaf yang layak. Itulah sunnah yang diajar Rasulullah S.A.W dan dilaksanakan oleh para khalifah Islam selepas Baginda S.A.W.

Ketika Nabi Muhammad S.A.W mengutus Saidina Muaz Bin Jabal R.A ke Yaman, Baginda S.A.W ada berpesan kepadanya. Ia berdasarkan sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abdullah Ibn Abbas R.A:

فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ فِي فُقَرَائِهِمْ

“Jika mereka mematuhi perkara itu, beritahulah mereka bahawa Allah mewajibkan solat ke atas mereka lima waktu sehari semalam. Jika mereka mematuhi perkara itu, zakat ke atas mereka yang diambil daripada orang kaya lalu diagihkan-agihkan kepada orang fakir di kalangan mereka.”

(Riwayat Muslim)

Waqaf Perak Ar-Ridzuan (WPAR)

Sejak tahun 2016, Waqaf Perak Ar-Ridzuan (WPAR) telah diwujudkan bagi menyediakan saluran sah untuk individu serta mana-mana organisasi berwakaf melalui MAIPk. Kewujudan WPAR ini merancakkan pembangunan sosio-ekonomi umat Islam di Negeri Perak di samping dapat memajukan harta waqaf, serta harta umat Islam bagi tujuan khairat dan amal jariah. 

Terdapat empat bidang utama yang dilaksanakan menerusi WPAR iaitu keagamaan, ekonomi, kesihatan dan pendidikan. Sumbangan menerusi WPAR akan melibatkan projek dan program seperti Waqaf Pembangunan Asrama Pelajar di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar, Waqaf Pembangunan dan Perkembangan Ilmu Al-Quran, Waqaf Pembinaan Pusat Haemodialisis , Waqaf Pembinaan Waqaf Business Centre (WBC), Waqaf Ilmu Program MUMTAZ, Waqaf Bot, Waqaf Dana Pembangunan Maahad Tahfiz dan Waqaf Tunai.

Memetik titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah :

“Semoga seluruh ummah tampil ke hadapan untuk bersama-sama menghulurkan sumbangan menjayakan dana Waqaf Perak Ar-Ridzuan, baik secara material, perkhidmatan, pemikiran, tenaga dan masa agar waqaf dapat berperanan efektif untuk membangunkan taraf sosioekonomi ummah. Semoga setiap perencanaan Waqaf Perak Ar-Ridzuan ini akan dapat memenuhi hasrat amal jariah setiap pewaqaf dan semoga segala usaha dari setiap pihak beroleh ganjaran serta rahmat Ilahi.”

Bantuan Bina Rumah MAIPk

Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak telah memberikan Sijil Pengiktirafan Khas Produk Rumah Pilihan (Bantuan Bina Rumah MAIPk) sebagai pengiktirafan atas komitmen dan usaha yang komited dari pihak Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak yang telah banyak membantu golongan asnaf dan mereka yang memerlukan bantuan dengan tiga jenis rumah dengan harga RM25,000.00 hingga RM50,000.00.

Pada tahun 2019, pihak MAIPk telah menyalurkan Bantuan Bina Rumah berjumlah 304 buah rumah dan Bantuan Baik Pulih Rumah pula sebanyak 494 buah rumah asnaf.

Dana khas agihan zakat bagi menghadapi pandemik Wabak COVID-19

Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah AlMaghfur-Lah, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) dengan kerjasama beberapa rakan strategik, memperuntukkan Dana Khas Agihan Zakat, bertujuan meringankan bebanan rakyat dan membantu usaha pelbagai pihak menghadapi pandemik Wabak COVID-19.

Dana khas ini, yang telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, keseluruhannya berjumlah RM11,950,000.00, RM11,110,000.00 daripada peruntukan zakat, RM30,000.00 sumbangan Pengerusi Yayasan Syarikat Pembinaan(SP) Setia, RM800,000.00 sumbangan daripada bahagian zakat beberapa sektor korporat. Dana khas yang disediakan bertujuan membiayai bantuan-bantuan berikut:

(i) Bantuan Kotak Makanan (tambahan) – RM240,000.00 Bantuan disalurkan melalui Bilik Gerakan COVID-19 di bawah kendalian Pejabat Daerah dan Tanah di seluruh Negeri Perak.

(ii) Bantuan Kecemasan Kelangsungan Hidup – RM5,800,000.00 Bantuan disasarkan kepada Ketua Isi Rumah berpendapatan RM2,000.00 dan ke bawah yang terjejas sumber pendapatan atas sebab diberhentikan kerja, diberi cuti tanpa gaji, terhenti operasi atau sebab-sebab lain yang munasabah. 

(iii) Bantuan Khas Modal Pusingan – RM2,000,000.00 Bantuan disasarkan kepada peniaga, penjaja dan usahawan yang pernah menerima bantuan modal perniagaan daripada MAIPk yang terjejas perniagaan mereka akibat Perintah Kawalan Pergerakan. 

(iv) Bantuan Terputus Bekalan Makanan – RM100,000.00 Bantuan disasarkan kepada mahasiswa atau mahasiswi di IPTA dan IPTS di seluruh Negeri Perak yang masih tinggal di tempat pengajian mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. 

(v) Bantuan Pengurusan dan Kebajikan Pelajar Luar Negara – RM100,000.00 Bantuan disasarkan kepada mahasiswa atau mahasiswi Negeri Perak yang sedang berada di luar negara (Mesir, Jordan, Indonesia dan lain-lain negara) untuk tujuan pengurusan dan kebajikan. 

(vi) Sumbangan Khas Petugas Barisan Hadapan COVID-19 RM500,000.00 Sumbangan disalurkan melalui Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan agensi-agensi lain untuk keperluan kebajikan petugas-petugas ketika bertugas di barisan hadapan.

(vii) Sumbangan Khas Peralatan Kesihatan dan Perubatan RM1,000,000.00 Sumbangan disediakan untuk disalurkan kepada hospital-hospital di Negeri Perak bagi menampung keperluan peralatan rawatan dan perubatan menangani COVID-19, berdasarkan cadangan atau permintaan dari Jabatan Kesihatan Negeri Perak. 

(viii) Sumbangan Khas Peralatan Pencegahan COVID-19 RM1,500,000.00 Sumbangan ini berbentuk pembelian peralatan pencegahan penularan seperti topeng muka dan hidung, sarung tangan dan hand sanitizer untuk disalurkan kepada masjid, surau dan masyarakat awam di Negeri Perak. 

(ix) Pelan Kontingensi-RM710,000.00 Berdasarkan keperluan yang mendesak bagi menampung apa-apa keperluan luar jangka pada masa akan datang.

Pembangunan ekonomi asnaf

Dana zakat boleh dimanfaatkan bagi program pembangunan ekonomi bertujuan meningkatkan taraf ekonomi golongan asnaf melalui penyediaan peluang-peluang perniagaan dan keusahawanan. Dengan membantu golongan ini terlibat secara langsung dalam bidang-bidang tersebut, zakat telah memainkan peranan sebagai instrumen agihan ekonomi yang seimbang bagi mengurangkan kadar kemiskinan, meningkatkan taraf dan kualiti kehidupan, menyediakan kehidupan yang selesa dan sejahtera seterusnya membawa kepada pembentukan negara yang berprestij pada masa hadapan. 

Proses pengagihan semula kekayaan secara seimbang dalam masyarakat sebenarnya dapat merapatkan jurang kekayaan yang terbentuk antara golongan kaya dan miskin. Dalam hal ini, zakat berperanan dalam mengawal perkembangan pendapatan setiap individu agar tunduk di bawah asas kecukupan diri bagi semua manusia. Hal ini dapat mengelakkan berlakunya penumpuan harta di kalangan golongan tertentu sahaja dalam masyarakat. 

Firman Allah S.W.T:

مَّا أَفَاء اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاء مِنكُمْ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (S.A.W) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).”

(al-Hasyr: 7) 

Terkini, MAIPk telah menawarkan Program Usahawan Asnaf MAIPk (Proper A) 2020. Program ini bertujuan memberi ruang dan peluang berbentuk bimbingan dan peralatan perniagaan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf dalam menjana pendapatan, menaikkan taraf ekonomi dan seterusnya menjadi usahawan yang berjaya. Antara bidang yang ditawarkan seperti bidang pembuatan, pemasaran dan penjenamaan produk, perkhidmatan, pertanian dan penternakan.

Antara lain, MAIPk juga telah menawarkan Program Skim Latihan Kemahiran Baitul Mal MAIPk 2020. Program ini diwujudkan khas bagi memberi peluang dan ruang kepada golongan asnaf untuk menyertai latihan dan kerjaya dalam bidang latihan kemahiran seperti kursus kimpalan, penyediaan dan pembuatan makanan, penyelenggaraan penghawa dingin, pengendalian jentera berat, jahitan pakaian wanita, pendidikan awal kanak-kanak dan lain lain.

Saranan

(1) Islam menganjurkan umatnya memiliki harta. Harta yang diperoleh adalah amanah daripada Allah S.W.T. Islam juga menitikberatkan pengurusan harta dalam aspek pengagihan dan perbelanjaan kerana ia sangat memberi kesan kepada kesempurnaan ibadah dan kebajikan sosial golongan yang memerlukan. Malah, menjadi saham kebaikan di akhirat kelak.

Firman Allah S.W.T: 

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”

(al-Qasas: 77)

(2) Pembayaran zakat hendaklah terus melalui pihak MAIPk yang bertanggungjawab dan berautoriti dalam pengurusan dan pelaksanaan ibadat zakat sama ada dari aspek pungutan atau agihan di Negeri Perak.

YB MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 22/10/2020

- Advertisement -