Armada sokong kenyataan Presiden Umno

Foto FB WAN AHMAD FAYHSAL
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Armada Nasional daripada Bersatu menyambut baik hasrat Presiden Umno untuk mengadakan gencatan politik, mengukuhkan Perikatan Nasional (PN) dan memberi fokus kepada agenda membantu rakyat mendepani wabak Covid-19 serta kegawatan ekonomi.

- Advertisement -

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyeru semua pihak bekerjasama untuk menjamin kestabilan politik agar seluruh usaha dapat ditumpukan untuk mengalahkan gelombang ketiga wabak Covid-19.

Katanya, kerajaan melalui pelbagai inisiatif akan meneruskan agenda untuk membantu negara bangkit semula daripada impak gelombang ketiga, di samping menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat seluruhnya.

“Untuk itu, kami dengan sepenuh harapan dan mendukung cita awam menyeru agar semua pihak khususnya sayap-sayap pemuda parti politik agar mengetepikan sebarang sengketa dan menyambut seruan gencatan politik ini dengan sepenuh ketulusan.

“Barisan pimpinan parti dalam kerajaan Perikatan Nasional jua perlu menzahirkan iltizam dan keikhlasan untuk menjayakan genjatan politik ini dengan mengelakkan sebarang kenyataan terbuka yang boleh mengeruhkan hubungan antara parti,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal berkata demikian dalam satu kenyataannya semalam..

Terdahulu, Presiden Umno Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan gencatan politik susulan wabak Covid-19 dan mendukung kerajaan PN yang berusaha membantu kehidupan rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

Terdahulu, pada 13 Oktober Umno menyatakan parti itu mempertimbangkan untuk tarik diri daripada PN.

Pertimbangan itu dibuat selepas Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Lantaran itu, situasi senario politik yang berlaku ketika ini turut dilontarkan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Kata Tuan Guru Abdul Hadi, rakyat dicelarukan dengan senario politik oleh ahli-ahli politik ketika kerajaan PN sedang berusaha menangani isu Covid-19.

Dalam pada itu Wan Ahmad Fayhsal berkata, panduan yang jelas juga wajar diberikan kepada semua ahli agar kerjasama dapat diperkukuh di semua peringkat parti termasuk di akar umbi.

Peranan Armada katanya lagi sentiasa ‘neutral ground’ bagi menjayakan sebarang perbincangan ke arah persefahaman dan pendamaian.

“Jangan ada mana-mana pihak mengganggu-gugat pentadbiran negara di bawah Perikatan Nasional yang sedang menumpukan sepenuh usaha untuk melindungi rakyat daripada penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan,” katanya lagi.- HARAKAHDAILY 22/10/2020

- Advertisement -