Adab berbeza pendapat dalam Islam

- Advertisement -

KHILAF atau perselisihan pandangan adalah lumrah dalam kehidupan kita sebagai manusia yang bermasyarakat. Allah S.W.T menjadikan manusia berbeza dari sudut pemikiran dan karakter sebagaimana Allah S.W.T menjadikan manusia berbeza dari sudut fizikal. Bukanlah suatu yang mengaibkan apabila manusia berselisih faham. Tetapi yang mengaibkan adalah apabila perselisihan itu membawa kepada perpecahan dan permusuhan.

Di zaman Rasulullah S.A.W dan Sahabat R.A, pernah berlaku perselisihan pandangan antara para Sahabat R.A. Mereka berbincang dan bersepakat dengan satu pandangan, ini seperti yang berlaku berkenaan lokasi peperangan Uhud. Perselisihan pandangan itu akhirnya mencapai kata sepakat untuk tentera Islam bertahan di Uhud dan bukan di dalam Kota Madinah. Di zaman Saidina Abu Bakar R.A. berlaku isu pengumpulan al-Quran, sama ada perlu dikumpulankan dalam satu mushaf atau tidak. Akhirnya semua orang Islam sepakat dan bersetuju dengan pandangan Saidina Abu Bakar R.A.

Ada juga perselisihan di zaman itu yang terus dibiarkan tanpa kata sepakat seperti yang berlaku dalam menentukan waktu solat Asar dalam peperangan Bani Quraizah. Juga seperti banyak isu berkaitan hukum fiqh di kalangan Sahabat R.A, ini boleh dilihat dalam banyak isu yang lebih besar seperti perselisihan berkenaan hukuman ke atas pembunuhan Saidina Osman R.A, keharusan pelantikan khalifah sebelumnya dan sebagainya.

- Advertisement -

Jika diurus dengan baik, perselisihan pandangan akan memberi ruang kelegaan kepada umat manusia. Imam Malik pernah berkata kepada Khalifah Harun Ar-Rasyid ketika pandangan-pandangannya hendak diwajibkan ke atas rakyat:

“Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya perselisihan ulamak adalah rahmat Allah S.W.T ke atas umat ini. Semua orang berpandukan dalil yang sahih pada pandangannya. Semua orang berada di atas hidayah dan semua mereka mencari keredhaan Allah S.W.T.”

Adab mengurus perselisihan 

(1) Setiap perselisihan itu hendaklah dirujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah. Mana-mana pandangan yang bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah, hendaklah ditolak. Tidak ada pandangan yang boleh berselisih dengannya. Allah S.W.T berfirman: 

“Jika kamu berselisih pada sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah dan Rasul jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat…”

(an-Nisa’: 59)

Al-Quran dan as-Sunnah pula hendaklah dirujuk mengikut keadaan yang betul sebagaimana manhaj Rasulullah S.A.W dan para Sahabat. Bukan menggunakan akal semata-mata atau mengikut manhaj penafsiran luar daripada amalan Rasulullah S.A.W. 

Di antara punca perselisihan yang membawa kepada permusuhan adalah pihak yang berselisih tidak mahu tunduk menyerahkan kebenaran itu kepada wahyu. Apabila akal dan emosi menguasai diri, pandangan peribadi akan dipertahankan sehingga menimbulkan ketegangan. Dua pandangan yang bertentangan akan dapat diharmonikan jika kedua-duanya tunduk kepada apa yang sampaikan oleh wahyu.

(2) Apabila berlaku perbincangan terhadap perkara yang diperselisihkan, perbincangan tersebut hendaklah berlaku dengan tujuan mencari kebenaran. Masing-masing hendaklah dari awal perbincangan bersedia dari segi mental dan emosinya untuk tunduk kepada kebenaran hakiki.

(3) Ketika berselisih pendapat, hendaklah sentiasa dibezakan di antara perkara yang telah menjadi persepakatan dalam kalangan ulamak dan juga perkara yang tidak disepakati.

Imam Syafie berkata: 

“Aku tidak bermuzakarah dengan seseorang kecuali aku akan berdoa, Ya Allah alirkanlah kebenaran pada hati dan lisannya. Jika kebenaran itu padaku, dia sanggup mengikutiku. Jika kebenaran itu padanya, aku mengikutinya.”

Akhir sekali, permusuhan akan timbul jika perbincangan dibuat dengan tujuan untuk melihat siapa kalah dan siapa yang menang. Niat untuk mengalahkan pihak lawan akan membawa kedua-dua pihak ke arah mereka-reka hujah, menggunakan bahasa yang kasar dan kesat, penghujahan dipenuhi emosi dan lain-lain (tindakan yang negatif). Tetapi sebaliknya jika tujuan perbincangan adalah untuk mencari kebenaran, perbincangan itu akan menjadi suasana ilmiah, bahasa yang digunakan juga akan sopan dan tidak ada pihak yang akan terguris hati. 

NURUL RAHMAH NISIHUDIN – HARAKAHDAILY 22/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -