Solat hajat di seluruh Kelantan Jumaat ini

Gambar sekadar hiasan

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyarankan masjid negeri, bandar dan jajahan di seluruh negeri itu melaksanakan solat hajat dan doa selamat.

Yang Dipertua MAIK Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, solat hajat berkenaan perlu dilaksanakan selepas solat Jumaat pada 23 Oktober ini.

Advertisement

Katanya, ia bertujuan memohon pertolongan dan perlindungan Allah SWT supaya wabak Covid-19 tidak merebak di Kelantan.

Menurut beliau perkara itu mendapat perkenan Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

“Bagaimanapun diingatkan seluruh masjid di Kelantan perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19 seperti yang dikeluarkan MAIK sebelum ini.

“Saya mendoakan wabak Covid-19 yang mengancam negeri dan seluruh negara segera berakhir dan diangkat oleh Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – HARAKAHDAILY 21/10/2020