Jangan cuba sentuh Institusi Diraja – Amaran Ustaz Idris

Foto BERNAMA
- Advertisement -

WALAUPUN post asal sudah tidak lagi kelihatan di Facebook milik pemimpin DAP itu, namun tangkap layar status Facebook berkenaan masih berlegar-legar di blog-blog bebas dan beberapa laman sosial tidak rasmi di Facebook.

- Advertisement -

Menjadikan sukar untuk katakan isu ini satu khabar palsu apabila kenyataan seorang pemimpin DAP yang seolah-olah menyokong tindakan rakyat Thailand membuat rusuhan supaya memperbaharui atau memansuhkan sistem diraja negara itu.

Now in Bangkok. They are saying no to the king,” begitulah kata-kata pemimpin DAP itu di laman Facebook rasmi milik beliau.

Ayat itu tidak ditujukan kepada mana-mana Institusi Diraja dalam mana-mana negara, namun sebelum terlambat, eloklah rakyat Malaysia berhati-hati sebelum tiang seri tanah air ini tergadai.

Dalam satu ulasan Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad, beliau awal-awal sudah memberi amaran kepada mana-mana entiti yang berhasrat untuk mengganggu-gugat Institusi Diraja negara ini.

“Jangan mereka mahu samakan situasi Institusi Raja Berpelembagaan di Malaysia dengan negara lain, kerana kita ada melihat beberapa tulisan dalam media sosial yang seolah-olah mengajak dan meniru seperti mana apa yang berlaku di Thailand,” tegasnya memberi amaran.

Hal ini kerana kata Ustaz Idris, Sistem Raja Berperlembagaan Malaysia merupakan penaung utama kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dan kaum.

Katanya, Institusi Diraja Malaysia sehingga ke hari ini menjadi pengimbang supaya rakyat dapat menikmati kehidupan di dalam suasana yang harmoni dan aman.

Malah, kehidupan rakyat Malaysia turut berbeza dengan sesebuah negara lain serta mempunyai keunikan tersendiri dari sudut kepelbagaian kaum.

“Maka, jangan kita mahu meniru atau mahu mengambil suri teladan yang ditunjukkan negara lain untuk diciplak masuk ke dalam negara ini.

“Kerana perkara ini telah pun tertakluk di dalam Kontrak Sosial 1955 yang diterima oleh pemimpin pelbagai kaum ketika mencapai kemerdekaan dahulu.

“Antaranya adalah kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan Bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu, dan hak kerakyatan, kerana itu adalah perkara yang perlu dihormati oleh semua pihak.

“Jangan cuba untuk menyentuh perkara-perkara ini yang telah pun diterima setengah abad kita merdeka dalam keadaan yang harmoni dan baik,” ujarnya yang merupakan mantan Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Justeru itu, kata Ustaz Idris, beliau berharap agar ura-ura bahawa terdapat pihak mahu mengganggu-gugat Kontrak Sosial 1955 itu tidak wujud.

Beliau dalam masa sama turut berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat melakukan siasatan sekiranya perkara sedemikian berlaku.

Ia bagi mengambil langkah berhati-hati supaya barah di negara itu tidak melarat kepada masyarakat di negara ini yang boleh menjadi sesalan suatu hari nanti, katanya.

Tidak dinafikan, sistem beraja negara jiran itu adalah berbeza dengan Malaysia, namun seolah-olah meraikan atau menyokong apa yang dilakukan rakyat Thailand bukan satu tindakan bijak.

Rakyat begitu sayangkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang setakat ini mempunyai prestasi yang sangat baik dalam usaha menyelamatkan negara sejak Malaysia dilanda wabak berjangkit yang telah membunuh jutaan umat manusia.

Malah, Covid-19 juga turut memberi satu pelajaran baharu buat rakyat bagaimana Sistem Raja Berperlembagaan negara ini berfungsi sekiranya berlaku sesuatu krisis melibatkan rakyat dan negara, termasuk krisis-krisis yang disebabkan oleh tangan-tangan politik. – HARAKAHDAILY 21/10/2020

- Advertisement -