AMAL-JAS kumpul barang elektrik, elektronik terpakai

- Advertisement -

KUANTAN: Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Negeri Pahang telah bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang menganjurkan program mengumpul barang-barang terpakai peringkat Daerah Kuantan.

- Advertisement -

Kempen ini memberi fokus kepada pengumpulan barangan elektrik dan elektronik yang telah rosak di mana turut mendapat kerjasama rapat daripada KRT Taman Guru dan telah dilancarkan di pekarangan Balai Raya Taman Guru, di sini kelmarin.

Antara barangan yang berjaya dikumpul daripada pemberian orang ramai terutama penduduk setempat ialah seperti kipas angin, televisyen, komputer, mesin pencetak, mesin basuh, peti sejuk dan banyak lagi.

Menurut Timbalan Pengarah 1 AMAL Pahang, Halmi Ismail, pihaknya merasa terpanggil untuk bersama menyokong dan menjayakan program kempen ini yang dirancang akan berlangsung selama sebulan di seluruh daerah ini.

Menurut Timbalan Pengarah Pembangunan JAS Pahang, Muhammad Hisyam Abdullah, kempen ini bertujuan menyedarkan orang ramai akan kepentingan untuk melupuskan barangan elektrik dan elektronik.

Jelasnya, komponen berkenaan yang telah rosak mesti dilupuskan dengan cara yang betul, demi keselamatan dan kelestarian alam sekitar, sebaliknya jika tidak, ia boleh mencemarkan alam sekitar dan meninggalkan kesan kerosakan bagi jangka masa panjang.

Penduduk tempatan yang ditemui menyatakan penghargaan kepada pihak penganjur atas inisiatif ini kerana ia memudahkan warga tempatan untuk melupuskan barangan terpakai dengan cara yang betul dan mudah. – HARAKAHDAILY 20/10/2020

- Advertisement -