ADUN seru prihatin terhadap jiran, saudara mara

- Advertisement -

PAYA BESAR: Lajnah Kebajikan PAS Cawangan Permatang Badak telah mengadakan program ziarah bersama ADUN Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya di sekitar Cawangan ini, dekat sini semalam.

- Advertisement -

Program ziarah turun ke Cawangan-cawangan ini merupakan jadual rutin Ustaz Tarmizi yang bertujuan melawat dan menjengah sendiri keadaan kehidupan penduduk di bawah tanggungjawabnya.

Lebih-lebih lagi apabila beliau dikhabarkan mengenai penduduk yang sakit, antara mereka ialah Saupi Jusoh pengidap sakit jantung dan Wan Haslina Wan Muhammad pesakit kanser tulang.

Termasuk juga Maznan Mohamed Ali yang baharu keluar dari hospital kerana menjalani pembedahan kanser daging di bahagian kaki dan Norazizah Mohamed Ali pesakit strok sejak sebulan lalu.

Turut hadir ketika ziarah ialah Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK), Shaharudin Mat Asi serta wakil Ahli Jawatankuasa PAS dan Umno Permatang Badak.  

Dikesempatan berziarah itu, Ustaz Tarmizi turut meluangkan kesempatan memenuhi permintaan melakukan tahnik kepada Muhammad Zayn Amsyar, 4 bulan dan Alisha Humaira Nishanuddin, 3 bulan.

“Harapan saya supaya program ini dapat diteruskan dari masa ke semasa, kerana dengan program sebegini kita dapat melihat sendiri bagaimana kesusahan, ujian yang di hadapi oleh saudara kita.

“Juga harapan program dapat dilaksanakan bersama lagi melibatkan Pejabat ADUN dan Jawatankuasa PAS dan juga Umno di cawangan, supaya dapat mengukuhkan lagi Muafakat Nasional.

“Masyarakat juga diajak bersama-sama bersikap prihatin dengan jiran-jiran sekeliling untuk memastikan saudara mara kita ini terjaga dan terbela kebajikan mereka,” ulas beliau.

Orang ramai yang prihatin dan ingin menyumbang, bolehlah salurkan sumbangan anda ke akaun Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Panching 06010004266719 (Bank Muamalat). – HARAKAHDAILY 19/10/2020

- Advertisement -