Rumah Budi inisiatif Ustaz Rosli bantu penduduk

- Advertisement -

KUANTAN: Sifat prihatin ADUN Tanjung Lumpur, Ustaz Rosli Abdul Jabar terhadap denyut nadi kehidupan warga penduduknya telah mendorong beliau menubuhkan ‘Dana Rumah Budi’.

- Advertisement -

Inisiatif ini bertujuan membantu penduduk yang berpendapatan di bawah paras kemiskinan untuk memiliki rumah sama ada di atas tanah kepunyaan sendiri atau keluarga memberi kebenaran.

“Rumah Budi ini akan dibina sepenuhnya dari hasil usaha pihak Pejabat ADUN Tanjung Lumpur. Ia bukan rumah bantuan kerajaan seperti PPRT, PPR dan seumpamanya yang umum ketahui.

“Sebaliknya, kos untuk membina rumah ini adalah dari dana yang diusahakan melalui sumbangan orang ramai, ia bersifat ‘dari rakyat untuk rakyat’,” jelas Ustaz Rosli.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang memaklumkan, permohonan mestilah belum mempunyai rumah sendiri atau keadaan rumah didiami ketika ini berada dalam keadaan sangat uzur.

Menurut beliau lagi, projek yang telah dilancarkan sejak Ogos lalu ini akan menyiapkan rumah pemohon dengan kos sekitar RM30,000 hingga RM40,000 dengan saiz mengikut jumlah isi rumah.

“Melalui dana ini juga, kami akan menggunakannya untuk membantu baik pulih rumah yang sangat uzur. Keutamaan adalah kepada golongan miskin, ibu tunggal dan lain-lain bergantung kepada pertimbangan Pejabat ADUN.

“Penduduk juga mestilah dalam kawasan DUN Tanjung Lumpur. Kami berharap usaha murni ini sentiasa mendapat pertolongan dari Allah S.W.T terutama dalam usaha mengumpulkan dana tersebut,” ujar Ustaz Rosli lagi sambil membaca ayat 39 surah Saba’.

Para dermawan yang ingin sama menyokong usaha ini boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank 5562 2640 2359. – HARAKAHDAILY 19/10/2020

- Advertisement -