Petani digalak sertai ladang kontrak

- Advertisement -

JELI: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berharap lebih ramai petani di negara ini menyertai program Ladang Kontrak (LK).

Timbalan menterinya, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, kaedah itu dapat meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan.

Menurutnya, golongan petani akan memperoleh manfaat dengan dibantu pihak FAMA dan pelbagai agensi di bawah kementerian berkenaan bermula awal proses penanaman.

- Advertisement -

“Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan akan membantu memasarkan tanaman atau produk mereka ke pasaran domestik atau antarabangsa.

“Pada tahun ini seramai 3,245 peserta program LK yang berdaftar melalui pelbagai agensi seperti Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Ladang di seluruh negara,” ujarnya selepas mengadakan lawatan kerja di Projek Usahawan Ladang Kontrak di Kuala Balah, dekat sini, semalam.

Di samping itu, Che Abdullah turut menggesa golongan petani, penternak dan nelayan membantu kerajaan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi.

Tambahnya, pada masa yang sama ia dapat membantu mereka terus menjana pendapatan terutama ketika negara dilanda Covid-19.

Che Abdullah juga berkata seramai 20 peserta program ladang kontrak mengusahakan tanaman jagung seluas 32 hektar di tapak Projek Program Tadahan Rahmat Jeli 1.

“Dianggarkan sejumlah 321,000 pokok jagung dituai sepanjang musim tanaman yang bermula 1 Ogos hingga 4 Oktober lepas dan nilai jualan dianggarkan RM193,000,” katanya.

Menurutnya, selain di tapak projek itu terdapat juga kawasan yang mengusahakan tanaman jagung iaitu di Bendang Kampung dan Bendang Bala.

“Kawasan terbabit menanam jagung di kawasan seluas hampir 150 ekar dan mampu memperolehi 1.5 juta jagung bagi setiap musim,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 18/10/2020

- Advertisement -