PAS Sungai Ular terawal realisasi Wakaf Air

INDERA MAHKOTA: PAS Cawangan Sungai Ular menjadi pihak terawal merealisasikan program Wakaf Air yang digagaskan Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

Advertisement

Hasil kerjasama ahli-ahli PAS dan penduduk setempat, projek ini telah dapat dilaksanakan dengan jayanya dan disempurnakan perasmian oleh ADUN Beserah, Andansura Rabu, di sini kelmarin dahulu.

Turut bersama dalam acara bersejarah bagi warga penduduk itu merasmikan Wakaf Air ini secara simbolik memotong riben adalah Pegawai Penerangan Daerah Kuantan, Zayana Zahirah Mohd Isa.

Difahamkan pembiayaan bagi perbelanjaan projek ini adalah sekitar RM2,000 sahaja di mana ia sangat membantu keperluan bekalan air terutama kawasan yang sering mengalami masalah seumpama.

Projek ini selain diharap menjadi manfaat kepada penduduk dalam keperluan bekalan air, ianya juga diharap meningkatkan amalan kebersihan sepertimana usaha menangani COVID-19.

Turut bersama adalah Ketua Jawatankuasa Kampung, Samsul Azlin Wahid di mana hadirin turut dijamu ubi kayu istimewa yang juga merupakan projek ekonomi PAS Sungai Ular. – HARAKAHDAILY 18/10/2020