Saringan Covid-19 : Kesungguhan kerajaan kekang wabak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Saringan ujian Covid-19 dilakukan secara bersasar sejak wabak itu melanda negara merupakan langkah pembendungan yang berkesan.

Hasilnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya mengenalpasti lokaliti yang dijangkiti Covid-19 seperti laporan harian Ketua Pengarah Kesihatan (KPK) yang merekodkan peningkatan kes kebelakangan ini.

- Advertisement -

Menurut Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) Dr Rosni Adam, peningkatan kes harian positif Covid-19 yang direkodkan merupakan manifestasi kesungguhan kerajaan dalam memperkemas program kesihatan awam.

Rosni berkata saringan yang dilakukan secara bersasar mengenalpasti pesakit yang perlu diasing dan dirawat sebelum berlaku penularan lebih meluas adalah langkah mengekang perebakan Covid-19 dengan lebih berkesan.

Justeru itu, kata Rosni peningkatan kes harian masih dalam lingkungan jangkaan memandangkan kluster-kluster berkaitan menunjukkan trend yang boleh dijangka.

Antaranya trend semasa menunjukkan telah mulanya penularan menyeluruh di Lembah Klang mewajarkan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Cuma PKPB kali ini kata Rosni tidak sama sebagaimana PKP yang pernah dilaksanakan seawal Mac dan April lalu.

Katanya lagi, pihak berkuasa perlu sentiasa memberi pertimbangan antara kepentingan kesihatan rakyat dan perkembangan ekonomi dalam suasana yang mencabar ini.

Sehubungan itu, katanya pemimpin dan rakyat perlu bersatu, berganding bahu dalam menangani bencana pandemik Covid-19.

“Lupakan perbezaan politik dan sebagainya kerana penyatuan kita semua amat penting dalam menentukan kejayaan menentang pandemik ini.

“Saya juga menyeru semua pihak mengikuti arahan pihak berwajib dengan baik serta tidak cuba menangguk di air keruh,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini. – HARAKAHDAILY 16/10/2020

- Advertisement -