Inilah jalan penyelesaian kita

- Advertisement -

POLITIK dalam negara menjadi kembali panas apabila Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kononnya beliau punya bilangan yang ‘strong, formidable and convincing’ untuk mengambil-alih jawatan Perdana Menteri (PM) dari Tan Sri Muhyiddin Yassin yang beliau turut dakwa telah hilang kelayakannya sebagai PM.

Dakwaan Anwar bukan hanya mendapat liputan menyeluruh dalam negara tetapi juga oleh media antarabangsa. Kononnya selain Ahli-ahli parlimen PH, terdapat Ahli-ahli Parlimen lain termasuklah dari BN dan PN yang menyatakan sokongan padanya.

Namun selepas Anwar melangkah keluar dari Istana Negara, ternyata Yang di-Pertuan Agong tidak dapat diyakinkan dengan dakwaan beliau itu malah Anwar dititahkan agar akur dan menghormati proses-proses perundangan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Segalanya menjadi haru-biru setelah itu.

- Advertisement -

Banyak pihak mula membuat telahan, pelbagai spekulasi terpacul dan terutama mereka yang melukut di tepi gantang semakin bernafsu mahu menyerang dan memunahkan kerajaan dan perpaduan parti-parti yang mendukungnya apabila menganggap semuanya mula kelihatan rapuh dan goyang.

Mampukah tiga parti utama yang menjadi teras kepada Kerajaan PN iaitu BERSATU, Umno dan PAS kekal bertahan? Adakah GPS akan terus mendukung kerajaan atau menarik diri? Biarlah mereka yang taksub dengan ‘Langkah Mat Jenin’ Anwar menari dengan angan-angan yang indah-indah. Mereka pasti gagal.

Realitinya wadah Muafakat Nasional (MN) yang merupakan pemangkin yang telah mencetuskan perubahan dan peralihan selera dan sokongan umat Melayu dan rakyat Malaysia amnya perlu diperkasakan. Hubungan kental PAS dan Umno tidak wajar terjejas dengan sedikit gelombang terdesak berpunca dari angan-angan kosong Anwar itu. BERSATU yang kini juga ahli MN juga perlu pantas sesuaikan diri dan main peranan dalam MN.

Jangan lupa pada bencana PRU14, bila mana kealpaan dan kesombongan kita mengakibatkan berkecainya kuasa politik Melayu dan melangkah masuk kaduk yang terus melonjak naik junjung. Jangan lupa setelah rebahnya Kerajaan PH, kesatuan dan kematangan kita bersamalah yang mendorong dan memungkinkan terbentuknya Kerajaan PN apabila PAS dan Umno bersetuju menyelamatkan negara dengan memberi sokongan pada Muhyiddin untuk naik sebagai PM ke-8.

Masing-masing memain peranan, dan masing-masing diperlukan untuk melonjakkan kembali kuasa politik Melayu Islam sehingga menjelmanya sebuah negara yang makmur dan sejahtera buat rakyat keseluruhannya.

Berhadapan senario semasa PAS sahaja, atau Umno sahaja atau BERSATU sahaja tidak mungkin mampu mencetuskan kejayaan. Begitu juga kalau sekadar PAS dan Umno atau PAS dan BERSATU sahaja. Perpecahan tidak akan mampu membawa kejayaan malah akan mengulangi bencana PRU14.

Apatah lagi jika ada mana-mana pihak pula bernafsu dan mahu menjalin kerjasama dengan Anwar yang berdiri teguh di belakangnya DAP yang rata-rata ditolak umat Melayu. Jangan khianat.

Kembalilah ke meja rundingan. Buang yang keruh ambil yang jernih. Bagi kita yang beragama Islam, sewajarnya yakin dan beriman bahawa perpaduan ummah adalah anugerah Allah S.W.T, dan berjayalah mereka yang mampu membinanya setelah menambatkan penuh keyakinan pada Allah dan Rasul-Nya.

Musuh mahu menggagalkan kesatuan ini kerana sedar jika kesatuan ini berjaya maka hancur-luluhlah masa depan mereka. Lalu mengapa perlu kita bermain mata atau mengalih pandang pada mereka, merekalah musuh bukan kita sesama kita. Sesungguhnya diakui bermuafakat bukanlah suatu kerja yang mudah tetapi ia satu tuntutan kerana jika kita gagal maka selamanyalah kuasa politik Melayu terpinggir dan dipersendakan.

Umat Melayu Islam yang merupakan majoriti rakyat dalam negara sedang melihat dan menunggu-nunggu langkah kita. Mereka telah memberikan ‘signal’ bersedia bulat bersama kita sebagaimana ditunjukkan dalam beberapa PRK dan PRN Sabah. Jangalah kecewa dan persiakan harapan dan hajat besar mereka. Penyatuan kuasa politik umat Melayu akan menjadi realiti dan berpadu kukuh kiranya kita letakkan Islam sebagai terasnya, segala pertelingkahan dan perbezaan pendekatan perlulah dirujuk kembali pada Allah dan Rasul-Nya agar kita tidak sesat dan tersesat.

Satukanlah cita-cita dan perjuangan kita. Kita mungkin ada banyak perbezaan, tetapi utamakanlah persamaan iatu aqidah dan keturunan kita. Tangani perbezaan dengan matang dan penuh kasih sayang insya-Allah ia membuahkan kesejahteraan buat semua. Semoga semua kita terdorong untuk meletakkan Agama, bangsa dan negara di hadapan. Bulat air kerana pembetung bulat kata kerana muafakat.

Dalam titah terbaru dari Istana Negara Yang di-Pertuan Agong menyebut:

“Agar semua pihak mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat.”

Titah Tuanku lagi:

“Ahli-ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan tetapi sebaliknya menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses-proses perundangan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan”

Benarlah firman Allah S.W.T, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih dari [ada kesabaran musuh dan bersedialah (dengan bertugas di tempat masing-masing) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya mencapai kemenangan”

(ali-Imran: 200)

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 16/10/2020

- Advertisement -