Bersama banteras wabak Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyeru rakyat Malaysia termasuk ahli-ahli politik dan kepimpinan negara berganding bahu membendung penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini.

Ustazah Nuridah turut menyeru supaya rakyat Malaysia mematuhi ketetapan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan penularan wabak tersebut dapat dikawal.

- Advertisement -

Menurutnya, selain pematuhan SOP dan penjarakan fizikal yang ditekankan kerajaan ketika ini, senjata utama umat Islam iaitu doa juga harus diberikan perhatian ketika ini supaya wabak ini beransur pergi dari kehidupan umat manusia.

“Mari kita bersama-sama bersatu padu bersungguh-sungguh berusaha mencegah Covid-19 daripada merebak dengan mengikuti segala SOP yang telah ditetapkan dan diperintahkan oleh pihak berwajib.

“Mari kita terus berdoa ke hadrat Tuhan agar pandemik ini dihilangkan segera daripada kehidupan kita bersama.

“Setiap kita bertanggungjawab untuk membina kehidupan warga bangsa yang sejahtera,
Insya-Allah kita akan menang,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Kes positif Covid-19 harian mula mencatatkan kenaikan tiga angka semula baru-baru ini dan menimbulkan kerisauan sehingga memaksa kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Ibu Kota, Selangor, Putrajaya dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di beberapa kawasan. – HARAKAHDAILY 16/10/2020

- Advertisement -