Kelantan masuki arus politik baharu

- Advertisement -

KEJAYAAN pakatan PAS-APU menguasai politik Kelantan dalam Pilihan Raya Umum 1990 telah membawa negeri ini ke dalam arus politik baru – politik berteraskan agama. Ia adalah pengalaman baru bagi pengamal demokrasi pasca era ‘Islamic Revivalism,’ di mana sebuah gerakan Islam mencapai tampuk kekuasaan melalui jalan demokrasi. PAS yang pernah berpengalaman mentadbir Kelantan selama 18 tahun (1959-1978), kali ini tampil dengan wajah baru, iaitu di bawah kepemimpinan ulamak.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, ikon ulamak PAS yang berkelulusan dari India, Pakistan dan Mesir, mendapat ijazah MA dari Universiti al-Azhar pada 1962. Beliau dipilih sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS pada 1968, selepas terpilih sebagai Ahli Dewan Rakyat sejak 21 Oktober 1967. Pada 1981, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan, sebelum menjadi Ketua Pembangkang di DUN Kelantan pada 1986. Tanggal 21 Oktober 1990, beliau memimpin PAS untuk menguasai Kerajaan Kelantan dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 22 Oktober 1990.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz ketika itu belum dikenali secara meluas, kecuali oleh ahli-ahli PAS. Saat kemenangan berlaku, beliau berkata, kemenangan ini adalah hasil kerjasama erat di antara manusia di bumi dan malaikat di langit. Lalu beliau memutuskan supaya gelaran ‘Tok Guru’ yang diberikan oleh rakyat dijadikan gelaran rasmi sebagai Menteri Besar. Tujuannya hanya satu – supaya setiap langkah politik pentadbirannya sentiasa di dalam ruang lingkup agama, jangan tergelincir dari al-Quran dan Sunnah. Title ‘Tok Guru’ diharap akan mengawal air mukanya dari melakukan penyelewengan terhadap rakyat, apatah lagi terhadap Allah.

- Advertisement -

Berkat kesungguhan Tuan Guru Nik Abdul Aziz ini, Kelantan telah mengangkat tema Membangun Bersama Islam(MBI) sebagai dasar kerajaan. Dalam tempoh setahun pertama, Kelantan telah membuat perubahan-perubahan bagi membentuk citra baru politik Kelantan yang berasaskan Islam. Akhbar Buletin, edisi Mei 1991 terbitan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN) Kelantan telah menyenaraikan 42 pembaharuan yang telah dibuat di Kelantan sejak 22 Oktober 1990.

Antara pembaharuan terpenting ialah:

(I) Menghapuskan amalan memberi hadiah semasa lawatan pemimpin kerajaan untuk mengelakkan rasuah.

(II) Memotong elaun Menteri Besar, ahli Exco dan wakil rakyat untuk disumbang kepada rakyat dan parti. Menteri Besar memotong 45 peratus dari gajinya.

(III) Menghapuskan peruntukan keraian, termasuk Majlis Hari Raya melibatkan Menteri Besar dan dua timbalannya bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

(IV) Melepaskan pengaruh politik kepartian dalam pentadbiran kerajaan tempatan apabila jawatan Yang Dipertua Majlis-majlis Daerah diserahkan kepada Ketua Jajahan.

(V) Melantik wakil orang bukan-Islam dan wanita sebagai anggota Majlis Daerah.

(VI) Pengharaman judi mulai 1 Januari 1991.

(VII) Mengawal penjualan arak supaya ia tidak dijual kepada orang Islam dan tidak diminum secara terbuka.

(VIII) Menambahkan tempoh cuti bersalin kakitangan kerajaan dari 42 hari kepada dua bulan.

(IX) Memindahkan simpanan tetap kerajaan ke Bank Islam.

(X) Memperkenalkan pinjaman secara Islam tanpa riba kepada kakitangan kerajaan.

(XI) Menubuhkan Tabung Serambi Makkah untuk membantu kebajikan rakyat.

(XII) Mengadakan kempen menutupi aurat kepada rakyat Kelantan.

Melalui pembaharuan-pembaharuan yang dibuat dalam tempoh setahun yang pertama ini, telah memperlihatkan komitmen PAS sebagai pemimpin kerajaan dalam menegakkan agama Allah. Langkahan kecil yang dibuat ini merupakan permulaan kepada usaha yang lebih serius dalam menerapkan Islam di dalam pentadbiran kerajaan.

Setelah 30 tahun, rakyat Malaysia sudah dapat melihat bagaimana Kelantan telah tampil sebagai model ‘ideal state’ di negara ini, sekali gus menolak dakwaan bahawa Islam tidak boleh memerintah, yang sering dimomokkan selama ini.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 15/10/2020

Tuan Guru Nik Abdul Aziz, seorang ulamak yang humble, telah menjadi inspirasi untuk melakarkan Kelantan sebagai Serambi Makkah.
Perubahan dan budaya politik baru berteraskan Islam di bawah dasar MBI telah menjadikan Kelantan sebuah universiti politik terbuka. Sesiapa yang mahu memahami amalan politik Islam, silalah melihat Kelantan.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai seorang peribadi yang hebat dalam menampilkan model pemimpin yang kukuh hubungannya dengan Allah dan kuat pula hubungannya dengan manusia.
- Advertisement -