Tiada peruntukan Ketua Pembangkang umum kerajaan jatuh

kerajaan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan sebarang hak kepada Ketua Pembangkang untuk memutuskan bahawa kerajaan telah jatuh sebagaimana yang dilakukan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

- Advertisement -

Pakar Perlembagaan, Prof Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, malah tindakan Ahli Parlimen Port Dickson itu juga tidak ada dalam amalan semasa atau amalan dalam keadaan luar biasa sekalipun.

Jelasnya, kenyataan Anwar sama ada kerajaan telah jatuh atau Kabinet telah terbubar mestilah diputuskan dalam konteks Perlembagaan iaitu apabila Perdana Menteri sendiri mengaku beliau telah hilang kepercayaan majoriti.

Beliau yang juga penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengulas demikian pada Wacana Sinar Harian mengupas tajuk ‘Kesan Gerak Politik Anwar Kepada Kerajaan Muhyiddin’, kelmarin.

“Dari segi perundangan, seorang Perdana Menteri itu akan hilang, akan jatuh ataupun kerajaannya akan terbubar sekiranya beliau telah hilang kelayakan atau sekiranya beliau telah meletakkan jawatan atau sekiranya Parlimen itu terbubar dalam masa 5 tahun secara automatik.

“Tapi ada juga apa yang telah berlaku sebelum ini apabila telah dibuktikan melalui keadaan luar biasa bahawa Perdana Menteri itu telah hilang kepercayaan. Dan ia sepatutnya berlaku dalam rujukan kepada Raja Berperlembagaan.

“Maknanya dalam konteks ini, perlu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong kerana peruntukan dalam Perkara 43 dalam Fasal 4 itu. Sebab kita ada Perdana Menteri sekarang.

“Jadi, perlu bezakan keadaan apabila Perkara 43 dalam Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan, sekiranya ada terisi jawatan Perdana Menteri itu, maka Perdana Menteri itu hendaklah diberi hak untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong sebelum diumumkan kerajaannya jatuh,” ujarnya.

Sebab itu katanya, dalam kes keadaan luar biasa iaitu apabila ramai-ramai Ahli Dewan Rakyat meninggalkan yakni tidak lagi menyokong Perdana Menteri, ia harus dibuktikan kerana keadaan itu luar biasa.

Oleh itu tegasnya, untuk mengumumkan sesuatu kerajaan itu sudah terbubar ataupun tidak, ianya adalah peranan Perdana Menteri yang sedia ada sebagaimana mengikut peruntukan Perlembagaan.

Tambah beliau, kedudukan Perdana Menteri ketika ini adalah berada dalam keadaan asal menurut Perlembagaan iaitu memiliki kepercayaan, maka orang yang menuntut bahawa Perdana Menteri tidak ada kepercayaan hendaklah membuktikannya.

Begitu juga jelasnya, hukum asal menurut peruntukan Perlembagaan, pembuktian itu mesti berlaku dalam Dewan Rakyat, namun di Malaysia telah berkembang satu prinsip bahawa ia juga boleh berlaku di luar Dewan.

“Mungkin dalam Dewan itu agak sukar apabila contohnya Tun Mahathir telah memasukkan satu usul untuk mengadakan Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri. Tapi, dalam peraturan mesyuarat itu, diletakkan ke bawah sebabnya peraturan mesyuarat menyatakan urusan-urusan kerajaan perlu didahulukan.

“Jadi di situ berkembang satu prinsip di Malaysia ini bahawa hilang kepercayaan itu boleh berlaku di luar Dewan. Itu yang saya sebut sebagai keadaan luar biasa. Tetapi, itu dibuktikan dalam kes secara orbital, dalam bahasa undang-undang orbital ini yang disebut secara sampingan,” terangnya.

Beliau memberi contoh pernah berlaku peletakan jawatan di Sabah setelah hilang kepercayaan majoriti, begitu juga di Perak setelah ADUN menukar kepercayaan mereka, bahkan di Kelantan berlaku undi tidak percaya dalam DUN.

Demikian itu tegasnya, mesti Ahli Dewan itu sendiri yang menyatakan representasi di dalam Dewan dan bukan diwakili orang lain, tetapi jika berlaku di luar Dewan, maka ia mesti diperincikan senarai Ahli Dewan sebagai pembuktian. – HARAKAHDAILY 15/10/2020

- Advertisement -