Pelajar dididik jadi ‘frontliners’ lawan COVID-19

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Pandemik COVID-19 di negara ini masih belum tamat, malah semakin menular di sesetengah kawasan yang menuntut seluruh rakyat sedar terhadap bahayanya.

- Advertisement -

Jabatan Penerangan Daerah Kuantan antara badan yang menggerakkan tanggungjawab mengatasi cabaran tersebut menerusi kempen kesedaran membudayakan norma baharu.

Antaranya menerusi usaha mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sehubungan dengan itu, suatu ceramah Kesedaran Pembudayaan Norma Baharu telah dianjurkan melibatkan seluruh warga Sekolah Menengah Islam Al-Irsyad, Balok, di sini semalam.

ADUN Beserah, Andansura Rabu berkata, para pelajar juga boleh membantu kerajaan menjadi barisan hadapan dengan menyebarkan maklumat kepada masyarakat supaya tidak leka, sebaliknya sentiasa berdisiplin.

“Pandemik ini memberi kesan psikologi kepada masyarakat terutama pesakit itu sendiri dan orang ramai seperti pekerja yang ditamatkan perkhidmatan serta peniaga-peniaga kerana terjejas pendapatan kesan kejatuhan ekonomi.

“Begitu juga kehidupan sosial hatta amalan agama yang tidak dapat dilaksanakan tuntutannya seperti solat berjemaah, bersalaman seperti selalunya kerana keadaan darurat ini,” ujar beliau.

Beliau turut mengemukakan perkembangan dunia yang khususnya sejak Februari lalu telah menyaksikan lebih sejuta nyawa menjadi korban COVID-19, termasuk di negara ini kembali menular kerana kegagalan mematuhi SOP.

Pemimpin ini juga berpesan kepada pelajar terutama calon peperiksaan SMA dan SPM untuk tidak menjadikan COVID-19 sebagai alasan malas belajar hingga menjadi sebab kegagalan.

Sebaliknya seru beliau, suasana pandemik ini seharusnya digunakan untuk menjentik semangat agar fokus mengulangkaji pelajaran setelah banyak aktiviti luar rumah telah tersekat.

Mengisi interaksi bersama pelajar adalah sesi kuiz dikendalikan Pegawai Jabatan Penerangan Kuantan, Mohd Aiman Zuhairi Zakaria dan ceramah disampaikan Ketua Penerangan Kuantan, Zayana Zahira Mohd Isa.

“Kesedaran mengenai COVID-19 dan pembudayaan norma baharu perlu diterapkan kepada anak-anak seawal mungkin terutama pelajar sekolah yang setiap hari berisiko kepada wabak ini dalam pergaulan harian dan aktiviti luar,” ujar Zayana.

Menurutnya, pihak kerajaan giat berusaha memutuskan rantaian wabak ini, tetapi tanpa kerjasama daripada rakyat, termasuk kalangan pelajar, maka ia akan menjadi sia-sia.

Beliau menyeru untuk membudayakan norma baharu antaranya mengelak 3C merujuk tempat sesak (crowded place), tempat sempit dan tertutup (confined space) dan sembang dekat (close conversation).

Sebaliknya beliau mengajak untuk mengamalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan atau sanitasi (wash), amaran berjaga-jaga (warn) dan memakai pelitup muka (wear).

Menurut Zayana, program seumpama ini masih berterusan sehingga 9 November depan di mana terdekat, 15 Oktober esok akan dilangsungkan bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung di Sungai Ular.

Program disambut mesra Ketua Pegawai Eksekutif Al-Irsyad, Wan Ismail Wan Ibrahim ini turut dihadiri Ketua Penerangan Muslimat PAS Indera Mahkota, Habsah Ali. – HARAKAHDAILY 14/10/2020

- Advertisement -