Dr Zulkifli pulih sepenuhnya daripada Covid-19

Dr Zulkifli menghadiahkan buku "Inilah Doaku" kepada kakitangan Hospital Tuanku Ja'afar sebagai tanda penghargaan kerana merawatnya sepanjang beliau dirawat di situ. -Foto FB Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dibenarkan keluar wad hari ini selepas disahkan pulih sepenuhnya daripada Covid-19.

Walau bagaimanapun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan beliau untuk mengutamakan rehat sehingga selesai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

- Advertisement -

“Terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, ahli-ahli jemaah menteri, para ulama’ di seluruh dunia yang menghantar pesanan mesej kepada saya dan semua rakyat Malaysia yang mendoakan saya.

“Tidak lupa kepada Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan dan warga KKM khususnya di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban,” tulisnya dalam satu hantaran di akaun media sosial miliknya, hari ini.

Pada 5 Oktober, Dr Zulkifli disahkan positif Covid-19 dan menjalani rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar.

Katanya lagi, dia disarankan KKM supaya tidak bertemu sesiapa lantaran itu sebarang pertemuan hanya melalui sidang video sahaja.

“Saya akan terus memantau semua gerak kerja dan laporan agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya dari rumah. Apa-apa makluman umum akan disampaikan melalui media sosial saya.

“Fokus utama saya buat masa ini adalah penyaluran bantuan kepada kelompok sasar terutamanya di WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya dan Selangor.

“Ini kerana PKPB telah bermula dan bantuan-bantuan perlu disalurkan dengan sesegera mungkin,” kata Dr Zulkifli. – HARAKAHDAILY 14/10/2020

- Advertisement -