Rakyat makin muak dengan Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sikap populis Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mahu namanya disebut dipersada politik dengan mencipta pelbagai krisis hanya menambahkan lagi rasa muak dan tidak percaya rakyat terhadap beliau.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Dr Riduan Mohamad Nor berkata, drama politik yang dicipta oleh Anwar sebelum ini telah banyak membuktikan kegagalan diri Presiden PKR itu untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

- Advertisement -

Katanya, tanggal 16 September yang lalu cukup membuktikan satu kegagalan besar buat Anwar yang sengaja mengadakan cerita kononnya kerajaan akan bertukar pada 16 September 2008 dan membohongi ramai Anggota Parlimen BN ketika itu.

Mengulas lanjut, Anwar dilihat gagal dalam melaksanakan dan menguruskan krisis dan masalah dalaman parti sendiri.

Malah Ahli Parlimen Port Dickson itu juga kehilangan ramai penyokong tegar daripada gelombang gerakan reformasi 1998.

Bagaimanapun kata Ustaz Riduan, strategi Anwar sentiasa ada dalam kancah politik negara, namun dalam keadaan dunia sedang menghadapi wabak Covid-19 bukanlah waktu yang sesuai untuk berlaku perubahan politik negara.

Sebaliknya kata Ustaz Riduan perlu untuk sama-sama memberi sokongan buat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan kabinetnya yang bertungkus-lumus menguruskan negara yang dilanda wabak Covid-19.

Terdahulu, Ustaz Riduan dihubungi Harakahdaily bagi mengulas pertemuan Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berlaku pagi tadi.

Anwar mendakwa dia mempunyai sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya untuk membentuk kerajaan baharu sekali gus menjatuhkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Anwar menyatakan hasrat bertemu Al-Sultan Abdullah untuk mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Dewan Rakyat yang kukuh dan meyakinkan sepertimana disebutkannya sebelum ini.

Menerusi kenyataan Istana Negara oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima Anwar menghadap di Istana Negara hari ini pada jam 11 pagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata Anwar hanya mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat sahaja tanpa menyenaraikan nama mereka dalam pertemuan yang berlangsung selama 25 minit di Istana Negara.

Justeru itu, Al-Sultan Abdullah menasihati Anwar supaya akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 13/10/2020

- Advertisement -