Kita masih belum menang hadapi Covid-19

Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh (tengah).

KUALA LUMPUR: Merujuk kepada kehangatan politik yang berlaku kebelakangan ini, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata sekarang bukan masa yang sesuai bagi pihak kerajaan mahupun pembangkang untuk berpolitik.

Sebaliknya kata Ustazah Nuridah, para pemimpin politik negara perlu bersatu hati untuk saling membantu rakyat membendung penularan wabak pandemik Covid-19.

Advertisement

“Saya ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, untuk bersatu melawan wabak Covid-19 ini.

“Patuhilah segala arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Setiap perkara yang dilakukan oleh kerajaan pastinya adalah demi keselamatan dan kesihatan serta untuk membendung wabak ini daripada terus merebak dan menjangkiti rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sejak awal September lalu, pesakit yang dijangkiti Covid-19 meningkat dari hari ke hari.

“Berikutan peningkatan mendadak kes baharu, ada sesetengah pihak yang cuba meletakkan kesalahan terhadap sesetengah pihak yang lain yang menjadi punca kepada peningkatan tersebut.

“Lebih-lebih lagi, situasi ini berlaku sejak Pilihan Raya Negeri Sabah diadakan. Setiap yang berlaku, pasti ada hikmah yang baik. Tidak perlulah kita terus menuding jari dan menyalahkan orang lain atas perkara telah berlaku,” ujarnya.

Ustazah Nuridah menasihatkan sesetengah sikap ahli politik yang cuba mengambil kesempatan atas hal ini supaya menghentikan agenda kepentingan politik mereka.

“Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk pemimpin kerajaan mahupun pembangkang untuk berpolitik. Sebaik-baiknya, kepimpinan politik negara terus membantu kerajaan membendung wabak pandemik Covid-19,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/10/2020