APMM rampas 2 juta rokok putih

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Sejumlah 200 bungkusan mengandungi dua juta batang rokok putih bernilai RM160,000 dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Pantai Sabak semalam.

Pengarah Maritim Kelantan, Kapten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, rokok berkenaan bersama tiga bot pancung dan sebuah lori kecil dirampas dalam kejadian jam 7.30 pagi.

- Advertisement -

Katanya kesemua rokok, bot, lori dan cukai dianggarkan bernilai RM2.3 juta.

“Kegiatan mereka mula dikesan bot peronda APMM apabila terdapat sebuah bot dalam keadaan yang mencurigakan.

“Apabila anggota penguatkuasa menghampirnya untuk melakukan pemeriksaan, bot itu memecut laju memasuki muara Pantai Sabak,” katanya kepada media di Ibu Pejabat APMM di Tok Bali di sini, hari ini.

Ekoran itu kata beliau bot APMM cuba mengejar sehingga ke tebing sungai dan sejurus tiba di situ didapati lebih 10 orang sedang memunggah bungkusan dari dua buah bot ke dalam sebuah lori.

“Apabila menyedari kehadiran anggota APMM mereka melarikan diri,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/10/2020

- Advertisement -