Pelajar dari zon merah, Sabah dikuarantin

- Advertisement -

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengambil langkah proaktif bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

UMK mengasingkan penempatan pelajar baharu yang datang dari zon merah termasuk Sabah bagi menjalani kuarantin selama 14 hari di universiti itu.

Naib Canselor UMK, Dato’ Profesor Ts Dr Noor Azizi Ismail berkata, pelajar dari zon merah dan Sabah antara yang lebih awal tiba pada hari pendaftaran semalam. Selain itu ada pelajar dari Sarawak.

- Advertisement -

Katanya, sehingga tengah hari, seramai 60 pelajar sudah melakukan pendaftaran sesi kemasukan 2020/2021 secara fizikal atau pandu lalu.

“Pelajar berkenaan antara yang berdepan masalah untuk pulang semula ke rumah atas pelbagai faktor.

“Antaranya masalah kewangan atau jarak jauh menyebabkan universiti mengambil inisiatif menyediakan penempatan kuarantin di sebuah bangunan khas,” ujarnya pada sidang media di UMK Kampus Kota di sini semalam.

Menurutnya juga pelajar ada dua pilihan sama ada pulang atau tinggal di asrama sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Pelajar dari zon merah dan Sabah perlu menjalani kuarantin seorang sebilik selepas melakukan ujian saringan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Beliau juga berkata, sesi pembelajaran di universiti itu akan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian.

Menurut beliau UMK yakin migrasi sistem eCampus ke platform cloud server Ecampus 2.0 yang dilancarkan baru-baru ini mampu menampung kapasiti 10,000 pengguna pada satu-satu masa.

“Pembelajaran dalam talian di UMK bermula pada 2015 sehingga sekarang. Pensyarah mendapat bimbingan berterusan selain berpengalaman semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/10/2020

- Advertisement -