Nostalgia sukan badminton raih prestij Piala Thomas

Monumen badminton keluarga Haji Sidek

- Advertisement -

KUALA LANGAT: Monumen Badminton Keluarga Haji Sidek menjadi daya tarikan baharu negara khususnya di negeri Selangor buat pelancong tempatan mahupun asing yang mana mereka boleh bergambar tanpa dikenakan sebarang bayaran.

- Advertisement -

Monumen yang asalnya dibina pada 1992 ketika skuad negara berjaya merampas kembali piala keramat, Piala Thomas kini berwajah baharu setelah kerja baik pulih dilakukan Jabatan Seni, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Kuala Langat pada Ogos lepas.

“Ambil semangat daripada usaha keluarga Haji Sidek yang mendidik anak hingga berjaya (dan) membuktikan rakyat Malaysia mampu berjaya (di persada) dunia dengan azam dan disiplin tinggi.

“Dengan semangat ‘Malaysia Boleh’, saya menyeru (agar) seluruh rakyat Malaysia untuk mencontohi mereka (Sidek Brothers),” ucap Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk M Noor Azman Taib ketika merasmikan monumen tersebut, di sini semalam.

Dalam pada itu, lagenda badminton negara, Misbun Sidek menyifatkan usaha pemulihan monumen ini sebenarnya adalah untuk mengingatkan kembali nostalgia 28 tahun lalu supaya masyarakat tahu sejarah kemenangan pasukan Malaysia di Piala Thomas itu harus diulang kembali.

“Dengan adanya monumen ini orang akan sentiasa ingat kepada sukan badminton dan juga kepada kami adik beradik yang hingga kini masih berkecimpung dalam badminton,” ujar Misbun dengan penuh harapan.

Sementara itu, Pengarah Projek Monumen Badminton Keluarga Haji Sidek, Saidul Marjuni dihubungi HarakahDaily melahirkan rasa syukur dan berbangga di atas kerjasama pelbagai pihak dalam menjayakan projek bersejarah ini.

Katanya lagi, usaha DACS Kuala Langat bersama para sukarelawan mengerah keringat selama lebih kurang dua bulan akhirnya menjadi realiti dengan berbekalkan semangat juang Anak-anak Sidek menjulang Piala Thomas 1992.

Beliau yang juga Pengarah DACS Pemuda PAS Selangor masih cuti sakit akibat kemalangan baru-baru ini sangat berbesar hati atas sokongan padu Kelab Nusa Mahsuri dan Sidek Brothers yang turut bersama ‘turun padang’ menyiapkan mural.

Turut hadir pada majlis perasmian monumen badminton keluarga Sidek itu adalah ADUN Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Timbalan Pengarah DACS Malaysia, Muhammad Fadzli Abu Bakar serta Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail. – HARAKAHDAILY 5/10/2020

- Advertisement -