4 remaja direman kes buli warga emas

- Advertisement -

BACHOK: Empat remaja dipercayai terlibat kes buli seorang wanita warga emas di Banggol Pauh, Bekelam, Bachok Rabu lalu direman selama tiga hari di Mahkamah Majistret bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman hingga Selasa ini terhadap keempat-empat suspek berusia 15 hingga 18 tahun itu dikeluarkan Majistret Tuan Mohd. Dinie Shazwan Ab. Shukor.

- Advertisement -

Kesemua remaja itu ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 kerana menyebabkan kecederaan kepada mangsa dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Sebelum ini, tular video berdurasi 30 saat di laman sosial yang memaparkan sekumpulan remaja lelaki tergamak mengganggu dan membuli seorang wanita warga emas, Wan Bidah Wan Deraman, 67 sehingga dia terpaksa melarikan diri.

Dua remaja berusia 16 dan 18 tahun itu ditahan ketika mereka menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok pada jam 2.30 petang manakala dua lagi berusia 15 dan 18 pada jam 5.30 petang semalam.

Difahamkan dua remaja yang berusia 16 dan 18 tahun itu juga merupakan anak sepupu mangsa. Warga emas berkenaan mendakwa mengalami lebam dan sakit pada bahagian lengan selepas dilastik remaja berkenaan.

Warga emas itu yang juga ibu tunggal memberitahu, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam Rabu lalu ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya seorang diri.

Katanya, dia didatangi kira-kira enam remaja termasuk anak sepupunya yang cuba menendang dan melastiknya. – HARAKAHDAILY 4/10/2020

- Advertisement -