UMMAH lapor polis jika Anwar gagal buktikan ‘numbers’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) akan membuat laporan polis jika Dato’ Sri Anwar Ibrahim gagal membuktikan dakwaannya dalam tempoh tujuh hari berhubung perolehan sokongan majoriti dalam kalangan ahli parlimen bagi membentuk kerajaan baharu.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, kenyataannya itu boleh didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan sekiranya disabitkan bersalah.

- Advertisement -

“Beliau boleh didakwa kerana membuat kenyataan palsu, cuba menghuru-harakan perpaduan, memporak-perandakan pentadbiran kerajaan, dan mensabotaj kestabilan ekonomi negara,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Jelasnya, Ketua Pembangkang itu tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong apabila dengan terburu-buru mengadakan sidang media.

“Dia (Anwar Ibrahim) tidak boleh buat kenyataan secara semberono tetapi haruslah dibuktikan dengan kukuh kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Hanya Agong sahaja yang boleh umumkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin cukup sokongan majoriti atau tidak,”

Pada Rabu lalu, Anwar mengadakan sidang akhbar khas mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu.

Malah, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menegaskan bahawa majoriti diperoleh adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis. – HARAKAHDAILY 30/9/2020

- Advertisement -