MB bimbang wujud kluster dari Sabah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bimbang kemungkinan wujud kluster baharu dalam kalangan mereka yang pulang dari Sabah beberapa hari lalu.

Katanya, beliau mengarahkan anggota Exco yang pergi berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini supaya tidak hadir mesyuarat Exco hari ini.

- Advertisement -

“Keadaan ini amat membimbangkan walaupun Kedah setakat ini tiada kes baharu. Sungguhpun begitu kes positif Covid yang dilapor, tidak melibatkan anggota Exco Kedah yang pergi ke Sabah,” ujar beliau selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

Menurutnya langkah itu diambil kira memandangkan di negeri-negeri lain berlaku kes baharu ada kaitan mereka yang pulang dari Sabah.

“Saya menunggu keputusan dari Jabatan Kesihatan. Berdasar maklum balas yang diterima individu yang terlibat perlu menjalani kuarantin di rumah dalam tempoh tertentu,” katanya.

Beliau juga berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar (TEMCO) di Flat Tongkang Yart diurus dengan baik.

Katanya sumbangan keperluan harian kepada 88 keluarga terlibat berjalan lancar. – HARAKAHDAILY 30/9/2020

- Advertisement -