Sayap pemuda perlu matang berpolitik

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa ketua sayap pemuda di dalam kerajaan hari ini untuk mengambil sikap berhati-hati dan berhemah dalam mengeluarkan kenyataan.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata mereka perlu menjadi contoh terbaik untuk rakyat dalam mencorakkan kepimpinan masa hadapan serta perlunya berpolitik secara matang.

Advertisement

“Seharusnya kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjadi contoh terbaik untuk mengukuhkan kerjasama politik ke arah PRU-15 (Pilihan Raya Umum ke-15).

“Kenyataan berbaur sindiran dan ‘mengangkat bakul’ sendiri adalah satu langkah politik yang merugikan PN dan BN.

“Seharusnya, pemimpin anak muda melihat secara keseluruhan akan pengorbanan ahli-ahli parti di peringkat akar umbi yang berkorban masa, keringat dan wang ringgit untuk berkempen di PRN (Pilihan Raya Negeri )Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, DPIM menggesa sayap pemuda diperkasakan melalui perbincangan membina, dan bukannya serangan secara terbuka, hingga mengakibatkan keresahan di kalangan rakyat.

Berkata Shahir lagi, penghargaan perlu juga ditujukan kepada pihak BN yang sudah bertungkus-lumus berkempen untuk memberikan kemenangan kepada GRS.

“Ada antara sahabat-sahabat kita di dalam BN yang berkempen hingga dijangkiti virus Covid-19. Bingkisan ucapan terima kasih adalah satu contoh berpolitik secara matang,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru semua wakil rakyat yang baru dipilih pada PRN Sabah untuk fokuskan masa, tenaga dan keringat mereka kepada penyelesaian isu rakyat dan pembangunan kawasan setempat, di samping menghapuskan budaya ‘katak lompat’ di Sabah. – HARAKAHDAILY 29/9/2020