Gelombang AKIFI Pekan serentak di dua DUN

- Advertisement -

PEKAN: Dewan Muslimat PAS Kawasan Pekan telah menggerakkan Gelombang AKIFI secara serentak di dua DUN iaitu Peramu Jaya dan Pulau Manis, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Program ini merupakan antara misi Muslimat PAS iaitu membina amilin dan kepimpinan AKIFI iaitu alim, haraki dan sufi dengan sistem pentarbiyahan dan pengurusan profesional.

Majlis dipenuhi dengan pengisian rohani seperti solat sunat, bacaan Yaasiin dan tazkirah bagi mempertautkan hati, menguatkan saf dan memperteguhkan jemaah ke arah kemenangan Islam.

“Sebagai orang Islam, kita perlu mengimani bahawa tiupan sangkakala adalah sebahagian daripada kesempurnaan kuasa Allah S.W.T dan ia pasti berlaku pada saat yang hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui,” ujar Ketua Muslimat PAS Pekan, Ustazah Rohana Mohamad.

Beliau adalah di antara yang hadir di Surau Al-Ehsan, Taman Sepekan Jaya telah membawakan tadabbur ayat 51 hingga 54 surah Yaasin iaitu keadaan dan suasana hari kebangkitan semula.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Politik dan Pilihan Raya turut menasihati agar menghayati dan memperbanyakkan renungan terhadap alam kubur yang mana ia merupakan transit sementara menunggu hari ketika dibangkitkan.

Sementara itu di Masjid Kariah Kampung Jaya Gading, Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Pahang, Maskhazila Ismail pula telah membawakan tajuk ‘Cinta Hati Sampai Syurga’ dalam tazkirahnya yang mana berkisar kepada kerukunan rumah tangga.

Pengasas Rumah Anak Yatim dan Miskin Dynasti Kuantan ini turut membawakan kisah Muti’ah iaitu wanita pertama penghuni syurga sebagai rujukan dalam membentuk pasangan suami isteri yang mendamaikan.

Munajat AKIFI ini tidak terhenti di sini sahaja, malah akan diteruskan di setiap DUN, tambahan pula wanita Umno turut menyertainya dan ini menjadi platform terbaik untuk berdakwah. – HARAKAHDAILY 29/9/2020

- Advertisement -