Jentera Penerangan perlu kuasai informasi, teknologi

BUKIT GANTANG: Jentera Penerangan PAS perlu menguasai informasi terkini dan pemahaman yang mendalam mengenai isu-isu semasa sekiranya mahu menjuarai pertarungan di media sosial.

Advertisement

Tugasan jentera penerangan bukan sekadar mematahkan hujah, dakyah dan fitnah lawan yang biasanya dilontarkan secara membuta tuli tetapi perlulah dibalas dengan fakta tepat, berhikmah dan niat untuk berdakwah.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, PAS mempunyai pelbagai rujukan tepat dan sahih seperti Harakahdaily dan laman media sosail pimpinan PAS yang boleh dijadikan panduan terhadap sesuatu isu.

“Hari ini, lebih 80 peratus penembusan capaian internet di Malaysia, malah negara kita mencatatkan kadar tertinggi penggunaan internet di Asia Tenggara. Secara purata, selama 8 jam waktu rakyat Malaysia melayari internet setiap hari di mana 5 jam daripadanya adalah di media sosial.

“Selain minat yang tinggi dan iltizam untuk membantu perjuangan Islam, para amilin PAS perlulah mempunyai kekuatan fizikal, mental dan spiritual serta disiplin yang tinggi dalam melaksanakan tugas sukarela ini.

“Jangan terjebak dengan jerangkap samar lawan sebaliknya mesti tangkas dengan fakta yang tepat serta hujah yang mantap,” ujarnya merasmikan Pelancaran Jentera Penerangan PAS Negeri Perak di Markaz Tarbiah PAS Perak, Air Kuning, di sini kelmarin.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria dan Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri.

Dalam pada itu, Razman menyatakan, gerak kerja penerangan di dalam PAS sentiasa berubah dari zaman ke zaman sesuai dengan perkembangan teknologi maklumat.

“Dahulu sebaran dibuat menggunakan risalah, kaset dan VCD tetapi kini informasi boleh disebarkan sepantas kilat menggunakan pelbagai bahan di platform media sosial dan laman web.

“Anda juga mesti tahu apakah peranan sebenar jentera penerangan, tugasan yang perlu dilakukan dan matlamat yang perlu dicapai. Niatkan matlamat kerana Allah, InsyaAllah setiap hantaran kita di medsos dikira sebagai jariah di sisi Allah,” tambahnya yang juga Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri.

Program dihadiri kira-kira 130 peserta yang mewakili seluruh negeri Perak diisi dengan pembentangan Strategi Gerakerja Jentera Penerangan PAS 2020 serta Taklimat Lajnah Penerangan dan Media Baharu. – HARAKAHDAILY 29/9/2020