75,000 graduan terjejas peluang pekerjaan

BANGI: Kira-kira 25 peratus atau 75,000 orang daripada 300,000 graduan pada tahun ini diunjurkan terjejas peluang mendapatkan pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, akibat impak daripada COVID-19, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata Kajian Pengesanan Graduan 2019 yang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menunjukkan 41,161 graduan pada tahun lepas masih belum bekerja, dan dengan unjuran 75,000 bagi tahun semasa, maka dianggarkan 116,161 graduan perlu diberikan perhatian untuk kebolehpasaran mereka.

Berucap pada pelancaran Pelan Jana Semula Ekonomi Negara Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (PENJANA KPT-CAP) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini, beliau berkata, KPT mengambil beberapa ikhtiar untuk membantu graduan terjejas.

Advertisement

“Ini termasuklah menyediakan kemudahan bantuan dana kepada mereka yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, termasuklah inisiatif MyBrain Science; Biasiswa Menteri Pengajian Tinggi dan Bantuan Kewangan pelajar OKU (Orang Kelainan Upaya),” katanya selain mencadangkan penerusan pelaksanaan program MyBrain 15.

Noraini berkata, KPT juga melaksanakan proses padanan pekerjaan kepada graduan yang masih belum bekerja dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi portal MyFutureJobs, selain memperkenalkan Skim Pembiayaan Mikro dengan kerjasama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) bagi membantu mahasiswa mengembangkan perniagaan.
 
Beliau berkata KPT akan memeterai memorandum persefahaman dengan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dimana PUNB akan membiayai program keusahawanan berkonsepkan mentor-mentee, untuk membolehkan bimbingan secara langsung daripada usahawan yang berjaya.

Selain itu katanya, bagi memudahkan bakal graduan membangunkan kerjaya dan meningkatkan kebolehpasaran mereka, KPT membangunkan portal Graduates Reference Hub for Employment and Training (GREaT) yang menyediakan padanan pekerjaan; permohonan program reskilling dan upskilling; permohonan penajaan melanjutkan pengajian; dan kaunseling kerjaya.

“Kementerian yakin inisiatif seumpama ini mampu memberikan impak dan nilai tambah kepada graduan, terutamanya dalam menangani isu kebolehpasaran graduan,” katanya.

Sementara itu, Noraini berkata Kajian Pengesanan Graduan 2019 menunjukkan seramai 189,543 graduan atau 63.5 peratus daripada 330,557 graduan pada tahun lepas, berjaya memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian mereka.

“Manakala 49,875 graduan atau 16.7 peratus sedang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi; 4,029 atau 1.3 peratus sedang mengikuti latihan meningkatkan kemahiran; manakala 13,943 atau 4.7 peratus telah menerima tawaran pekerjaan dan sedang menunggu penempatan,” katanya.

Sementara itu Noraini berkata, seramai 20,000 graduan dijangka mendapat manfaat di bawah program PENJANA KPT-CAP yang melibatkan sinergi dengan lebih 100 buah syarikat dengan tiga program utama, iaitu Job Matching and Replacement, Program Berterusan Keusahawanan dan Gig Economy.

“Saya yakin melalui strategi yang betul, kita mampu mencapai kejayaan yang lebih cemerlang bagi membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan dan dalam masa yang sama menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi negara,” katanya dan menyatakan pelaksanaan dan pemantauan program itu akan bermula pada 16 Oktober depan sehingga 31 Disember dengan penempatan bermula 1 Jan 2021. – BERNAMA