PERMAI dedah persediaan awal ke universiti

- Advertisement -

IPOH: Remaja dan golongan mahasiswa adalah aset paling berharga kerana mereka adalah pelapis pemimpin masa hadapan negara, demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri, Razman Zakaria.

- Advertisement -

Beliau berkata sedemikian ketika merasmikan program Perintis Mahasiswa Intelek Perak (PERMAI) 2020 bertempat di Dewan Bandaraya Ipoh, di sini kelmarin.

Menurutnya, peranan utama remaja ialah menuntut ilmu pengetahuan di mana anak muda perlu terlebih dahulu mempunyai visi hidup yang jelas di samping sentiasa mempunyai azam untuk tingkatkan kemajuan diri dan negara.

Bagi menyokong usaha itu jelasnya, Kerajaan Negeri Perak telah menyediakan pelbagai inisiatif bagi mendokong usaha para pelajar antaranya dengan menawarkan bantuan pendidikan melalui pelbagai agensi terlibat seperti Yayasan Negeri Perak.

Jelas Razman, menyedari hakikat taraf hidup dan latar belakang kemampuan keluarga yang berbeza antara pelajar di negeri ini, maka pendedahan maklumat mengenai tawaran bantuan daripada kerajaan negeri ini telah diusahakan pihaknya. 

“Kita tidak mahu (ada) anak-anak mahasiswa di negeri Perak (ini) tidak sambung belajar kerana faktor kemiskinan. Oleh kerana itu, (melalui) program PERMAI hari ini, in sya Allah (dapat) memberi peluang dan pencerahan kepada mahasiswa,” kongsinya.

Selain itu, Razman menyeru agar semua penerima yang berjaya mendapat pinjaman agar membuat pembayaran semula pada masa dan mengikut jumlah yang telah ditetapkan agar manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

“Kerajaan Negeri Perak (telah) memperuntukkan RM4 juta setiap tahun untuk tabung pendidikan ini. Sekiranya ada rasa kebertangungjawaban untuk para penerima membayar semula pinjaman, jumlah tabung sudah cukup besar dan ramai boleh menikmati bantuan ini,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 28/9/2020

- Advertisement -