Mandat baharu dari rakyat penting untuk negara

- Advertisement -

BALIK PULAU: PRU15 sangat penting kepada negara untuk mendapatkan mandat baharu daripada rakyat setelah mengalami senario politik yang sangat tidak menentu pasca-PRU14 lalu.

- Advertisement -

Sehubungan itu ahli PAS di semua peringkat mesti bersedia menghadapi PRU15 yang dijangka boleh berlaku dalam masa terdekat, demikian seru Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff.

Malah ahli PAS peringatnya, mesti bersiapsiaga menghadapi sebarang situasi di mana PAS akan menjadi parti penentu kepada perkembangan politik tanah air pasca-PRU15 itu nanti.

Menurut beliau juga, pimpinan PAS Pusat telah memberi perhatian kepada beberapa kerusi bakal ditandingi PAS di negeri ini yang menuntut anggota jentera memberikan komitmen tidak berbelah bagi.

Beliau berucap membangkitkan motivasi ahli ketika Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Parlimen Balik Pulau yang diadakan di Maahad Tahfiz Al-Ansar, Permatang Tengah, di sini kelmarin.

Beliau yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Balik Pulau turut memberi isyarat bahawa PAS bersedia bertempur di Parlimen ini menggantikan penyandang ketika ini, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dari PKR.

Sehubungan itu katanya, jentera sudah seharusnya bergerak semaksimum mungkin melibatkan Jentera Pilihan Raya DUN (JPrD) hingga kepada semua Unit-unit Daerah Mengundi (UDM).

Seru beliau, seluruh PAS Cawangan yang ada mesti menghidupkan aktiviti-aktiviti terutama melibatkan pertemuan bersama pengundi secara lebih giat dan kerap ke arah mewujudkan kecenderungan sokongan.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah dalam ucapan perasmiannya mengingatkan jentera supaya bergerak kerja dengan menyerahkan keyakinan kepada Allah serta meniatkan sebagai ibadah.

“PAS Pulau Pinang juga telah menilai kerusi Parlimen dan DUN yang boleh menang dan kemukakan kepada pimpinan PAS Pusat. Jika kita terus istiqamah dan wala’ dengan pimpinan, in sya Allah kemenangan pasti dicapai,” optimis beliau yang juga ADUN Penaga.

Majlis turut diisi dengan kuliah Maghrib dan taujihat dari Ketua Ulamak PAS Pulau Pinang, Ustaz Ahmad Tajuddin Abu Bakar dan dihadiri sama Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim.

Juga hadir adalah Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pulau Pinang dan Timbalan Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Pulau Pinang, Steven Koh- HARAKAHDAILY 28/9/2020

- Advertisement -